Ayah Minta GF Maulana Tidak Emosi!
Teks oleh Razif Rosdi
7 MEI 2010: Tika dan saat akhir ini, penonton setia Akademi Fantasia 8 (AF8) sudah pun sedia maklum bahawa pelajar Muhammad Firdaus Maulana Mohamed atau Maulana, 22, yang sering menampilkan persembahan konsisten dalam setiap konsert mingguan AF8 sedang intim bercinta dengan rakan seperjuangannya yang berasal dari Sandakan, Sabah iaitu Nadiawati Ainul Basir atau Ain, 23.Bagaimanapun, keserasian Maulana dan Ain nampaknya telah menimbulkan kekecohan apabila buah hati Maulana, Franny Phelsy dilaporkan tidak puas hati serta melenting dengan keadaan itu dan seterusnya telah menghubungi pihak produksi untuk mendapatkan penjelasan lebih lanjut tentang status sebenar kedua-dua pelajar berkenaan.
Untuk tidak meleretkan cerita ini sampai ke tahap lebih kronik lagi, ayah Maulana, Mohamed Bin Sehat, 54, terpaksa tampil ke hadapan dan menjelaskan bahawa anaknya itu sebenarnya jenis lelaki yang mudah cair (mudah cair bukan erti mudah jatuh cinta) dengan wanita yang mempunyai suara sedap serta mempunyai bakat nyanyian.
"Sebenarnya, saya baru sekali berjumpa dengan girlfriend Maulana (Franny). Itu pun waktu raya tahun lepas yang mana Franny ada datang beraya di rumah Mak Long Maulana. Setahu saya, Franny ni adalah pasangan penyanyi Maulana masa Maulana bergiat aktif sebagai penyanyi di UiTM, Merbok, Kedah. (Universiti Teknologi Mara).
"Sebagai ayah, saya tahu Maulana ni mudah sangat suka dengan perempuan yang ada suara sedap dan pandai menyanyi. Sejujurnya, saya tak tahu nak kategorikan adakah Maulana dengan Franny ni serius atau tidak. Lagi pun Franny bukannya Muslim. Dengan Ain pula, lagilah susah nak cakap. Saya belum pernah berjumpa dengan Ain dan kenal Ain pun melalui AF saja.
"Terus-terang, saya ada nasihatkan Maulana. Sekiranya dia nak cari calon isteri, janganlah mencari wanita yang lebih tua darinya. Saya juga mahu Maulana berjaya dulu dalam karier sebelum menyunting mana-mana wanita sebagai suri hidup. Biarlah masa yang menentu segalanya tentang cinta Maulana sama ada dia akhirnya memilih Ain atau pun Franny atau sesiapa sahaja yang ditakdirkan Ilahi," jelasnya.
Menyentuh sedikit sebanyak tentang sikap dan tindakan Franny yang mudah melenting itu, Mohamed berpendapat ia mungkin adalah salah satu provokasi untuk menggempakkan lagi AF8.
"Terus-terang, Maulana seorang yang sensitif dan bukanlah jenis lelaki buaya darat atau pun playboy seperti yang digosipkan. Selepas insiden Franny itu, kakak Maulana iaitu Halimahtul Sa'adiah (Kak Ngah Maulana) ada memberitahu saya tentang hal ini. Saya sendiri pernah menghantar message ke Facebook Franny secara personal dan menegur tindakan Franny. Saya beritahu Franny janganlah terlalu emosi dengan apa yang berlaku.
"Sesungguhnya...inilah resam hidup seorang penyanyi. Apabila Maulana dah keluar nanti, cabarannya yang terpaksa diterimanya nanti tentu akan lebih besar dan hebat lagi. Saya pesan kepada Franny agar tunggu Maulana keluar kalau nak melakukan sebarang tindakan," katanya
Tambah menarik, Mohamed turut menjawab gosip tentang hasrat Maulana yang mahu menyatukan dia dengan ibunya (S. Mariam) semula. Malah, ayah Maulana yang mempunyai pusat tuisyen sendiri iaitu Pancabestari Teknologi bersama isterinya, Tengku Badariah Hassan turut menjawab tuduhan yang mengatakan bapa Maulana berasal dari Brunei.
"Semua orang tak tahu apa yang berlaku antara saya dengan ibu Maulana (S. Mariam). Bagaimanapun,saya dan ibunya itu masih lagi berkawan tetapi kalau untuk kembali bersamanya itu mungkin adalah mustahil sama sekali. Keluarga terdekat tahu sebabnya dan saya sendiri pun sudah bahagia bersama bonda tiri Maulana.
"Hakikatnya, Maulana sangat rapat dengan bonda tirinya itu. Dia selalu datang bercuti dan melawat kami di kampung. Ketika Maulana dapat tawaran sambung belajar ke peringkat Diploma dan Ijazah di UiTM, bonda tirinya adalah orang yang paling bersusah payah menguruskan pendaftaran Maulana. Sewaktu saya berkahwin dengan bonda tirinya itu, Maulana ketika itu berusia 13 tahun lagi dan adiknya, Hana berusia 10 tahun," katanya.
Mohamed juga menafikan bahawa dia adalah orang Brunei sepertimana yang digembar-gemburkan sesetengah pihak.
"Orang Brunei yang dimaksudkan itu adalah suami pertama S. Mariam sebelum dia sah menjadi isteri saya. Kakak Maulana yang bernama Nurul Halimin (Kak Long) dan Halimatul Sa'adiah (Kak Ngah) adalah anak S. Mariam bersama bekas suaminya itu. Dan di sebabkan ibu Maulana pernah berkahwin dengan orang Brunei, Maulana juga ada saudara di kalangan orang Brunei," jelasnya panjang lebar.
Mohamed juga turut mengambil kesempatan untuk menjawab teguran pengkritik tetap AF8, Aznil Hj Nawawi tentang cara Maulana berjalan di pentas.
"Sedari kecil, saya dah mendidik Maulana supaya berjalan dengan gaya merendah diri. Arwah atuk Maulana (sebelah bonda tirinya) sendiri cakap semua adik-beradik Maulana berjalan sama seperti saya. Mungkin sebab itulah Maulana susah nak praktikkan ketrampilan berjalan seperti seorang bintang di atas pentas.
"Kali terakhir saya berjumpa Maulana pada 6 Februari lalu di majlis perkahwinan sepupu Maulana iaitu beberapa minggu selepas Maulana balik dari Shanghai kerana menjalani latihan praktikal dalam bidang grafik. Sebenarnya, Maulana tak ada beritahu saya tentang dia nak menghadiri uji bakat AF musim ke 8 ini.
"Saya pernah cakap dengannya supaya habiskan belajar dulu sebelum masuk AF. Tapi tak sangka dia dah pergi dan rezeki memihak kepadanya. Saya tak pernah halang Maulana untuk jadi penyanyi; tetapi biarlah tamat pengajiannya dulu. Dia pun dapat bakat seni dari saya.
"Yang penting, anak saya itu tak sombong dan bongkak seperti yang digambarkan dalam TV. Sebagai bapa saya tersentuh mendengar orang mengutuk dan mencemuh anak saya", katanya.
Sementara itu, Mohamed menegaskan bahawa pada masa yang sama, biarlah Maulana meniti kehidupannya dalam Akademi tanpa banyak prasangka.
"InsyaAllah, selagi hayat saya ada, saya akan sentiasa membimbingnya" kata ayah Maulana mengakhiri perbualan.
4 Yorum var:
ala sedihnya dengar kata2 Che Mat ni..takpela K.Bad n Che Mat harap dapat sabar banyak2..walaupunn saya tak kenal Maulana, saya kenal dan pernah bekerja dengan K.Bad dan Che Mat. Kemesraan dan layanan baik K.Bad dan Che Mat menampakkan personaliti kalian berdua dan semestinya tumpahn ke Maulana..
Don't worry K.Bad, mana tau itu rezeki bakal juara..Orang teraniaya kan doanya makbul..Mari kita doa banyak2 bagi pihak Maulana..
maulana best!!
Balkis:
Harap2 macam itulah Balkis. Kalau orang yang tidak mengenali kami berdua dan Maulana...pandangan mereka akan berbeza sama sekali tentang kami.
Perjalanan seni Maulana akan penuh ranjau sebelum dia diterima oleh kita semua. Hargailah bakat yang ada pada dirinya....dan yang lain itu akan seiring dgn perjalanan seninya.
Terima kasih atas sokongan Balkis & your hubby too.
Unaizah....yes our Maulana is the best among the best...kan, kan? ;D
Thanks for your support Unai...love you always...mmuah!
Sen de yaz