Saturday 20 June 2009

Sultan Mahmud Mangkat Di Julang

Bila kita bercerita tentang Kesultanan Johor, salah satu cerita yang masyhur adalah tentang "Sultan Mahmud Mangkat Di Julang". Selalunya kita confused tentang Sultan Mahmud adakah sultan ini Sultan Mahmud, Sultan Melaka yang terakhir tu? atau sultan yang lain?

Menurut fakta sejarah, sultan yang dimaksudkan ialah Sultan Mahmud Shah II iaitu Sultan Johor yang ke-10 (Raja Mahmud / 1685-1699). Baginda Sultan Mahmud II diputerakan pada tahun 1675 . Baginda merupakan keturunan terakhir Raja Fatimah dan cucu kepada Sultan Alauddin Riayat Shah II iaitu raja pertama yang membuka Johor Lama pada tahun 1530. Sultan Mahmud Shah II ditabalkan menjadi Sultan Johor ketika berumur 10 tahun oleh itu semua urusan pentadbiran dijalankan oleh Bendahara. Pusat pemerintahan Kerajaan Johor berada di Lota Tinggi sementara Johor Lama dijadikan sebagai istana hinggap.

Sultan Mahmud Shah II dikaitkan dengan kezaliman dan menimbulkan pergolakan dalam negeri. Pada 1699, Sultan Mahmud Shah II mangkat dalam usia 24 tahun (tapi dalam cerita Melayu - Laksamana Bentan, rasanya Sultan Mahmud digambarkan macam dah berumur aje....) dipercayai ditikam
dan dibunuh oleh Megat Seri Rama atau lebih dikenali dengan nama Laksamana Bentan pada hari Jumaat, Ogos 1699 dan peristiwa ini disebut sebagai "Marhum Mangkat Di Julang" atau "Marhum Kota Tinggi".

Makam Sultan Mahmud II ini terletak di Kampung Makam kira-kira 3 km dari bandar Kota Tinggi. Makam ini dikenali sebagai Makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang.


Al-Fatihah......




Pintu masuk ke Kompleks Makam



Kompleks Makam Sultan Mahmud II



Pandangan Makam Sultan Mahmud II
dari dekat



Makam Laksamana Bentan


Nama sebenar Laksamana Bentan ialah Megat Seri Rama, menurut sejarah beliau berasal dari Bentan Sumatera dan bertugas sebagai Panglima Angkatan Laut Sultan Mahmud Shah II (1685-1699). Megat Seri Rama telah menikam Sultan Mahmud sewaktu dijulang ketika dalam perjalanan menuju ke masjid untuk solat Jumaat. Ini disebabkan dendamnya terhadap tindakan Sultan Mahmud II yang telah menjatuhkan hukuman bunuh ke atas isterinya Dang Anum sewaktu ketiadaan beliau mempertahankan negeri Johor dari serangan musuh. Dang Anum telah dijatuhkan hukuman bunuh kerana dituduh memakan seulas nangka yang diambil dari kawasan larangan Diraja.

Namun demikian Sultan sempat menikam balas Megat Seri Rama dan melafazkan sumpah bahawa "Orang-orang Bentan akan muntah darah jika berkunjung ke bumi Kota Tinggi selama tujuh keturunan". Peristiwa ini terkenal dengan 'Sultan Mahmud Mangkat DiJulang'.

Makam Laksamana Bentan terletak di Kampung Kelantan dan berhampiran dengan Tebing Sungai Kemang di Daerah Kota Tinggi. Dipercayai disinilah disemadikan Megat Seri Rama yang juga dikenali sebagai Laksamana Bentan, pahlawan melayu terbilang dan isterinya Dang Anum.


Al-Fatihah.....




Batu Asas Pengenalan Makam
Laksamana Bentan




Makam Laksamana Bentan




Makam Laksamana Bentan
& Isterinya
Dang Anum



Sumber:
  • Wikipedia
  • johor.jkr.gov.my

Friday 19 June 2009

Fasa 1 - Sejarah Kesultanan Johor dan Riau-Lingga

Naskah catatan ringkas Kak Ungku kali ini adalah hasil pembacaan dari sumber-sumber yang boleh dipercayai. Terdapat fakta-fakta baru di dalam catatan kali ini yang mana merupakan 'value added' kepada fakta-fakta dalam blog Kak Ungku yang terdahulu.


Kesultanan Johor


Kesultanan Johor ini pada awalnya merupakan sebahagian daripada Kesultanan Melaka yang bermula daripada tahun 1401. Menurut catatan sejarah dan mitosnya, sultan-sultan yang mewarisi wilayah takluk Melaka ini berasal dari keturunan Raja Iskandar Zulkarnain yang warisnya turun dari Bukit Siguntang, Jambi, Indonesia. Anak-anak raja dari Bukit Siguntang inilah yang mula-mula membuka Melaka....wallahu'alam.


Setelah Melaka dikalahkan oleh Portugis pada tahun 1511, Sultan Mahmud Syah, Sultan Melaka yang terakhir berundur dan anak-anak cucunyalah yang membuka Kerajaan Johor dan kemudiannya menguasai seluruh Riau daratan dan kepulauan serta sebahagian daripada Semenanjung Tanah Melayu.


Kerajaan Johor
dikatakan telah muncul sebagai kuasa terkuat yang menguasai Selat Melaka semasa pemerintahan Sultan Abdul Jalil Shah III (Sultan Johor ke-8). Sultan Abdul Jalil Shah III telah memberi bantuan kepada pihak Belanda dan mengalahkan Portugis.

Pakatan Johor-Belanda ini telah berjaya menakluki Melaka pada 14 Januari 1640. Hubungan baik Johor-Belanda ini menjadikan laluan perdagangan Kerajaan Johor di Selat Melaka selamat untuk dilalui oleh pedagang-pedagang.


Di bawah ini adalah senarai kesultanan Johor bermula dari Sultan Melaka yang terakhir iaitu Sultan Mahmud Shah sehinggalah Sultan Johor yang terkini, Sultan Mahmud Iskandar.


Senarai Kesultanan Johor


Dinasti Melaka-Johor
1. Sultan Mahmud Shah ( 1511 - 1528)
2. Sultan Alaudin Riayat Shah II (Raja Ali)
3. Sultan Muzaffar Shah II
4. Sultan Abdul Jalil Shah I
5. Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II
6. Sultan Alauddin Riayat Shah III
7. Sultan Abdullah Ma’ayat Shah
8. Sultan Abdul Jalil Shah III
9. Sultan Ibrahim Shah
10. Sultan Mahmud Shah II

Dinasti Bendahara
11. Sultan Abdul Jalil IV
12. Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah (dari Dinasti Melaka-Johor)
13. Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah
14. Sultan Abdul Jalil Muazzam Shah
15. Sultan Ahmad Riayat Shah
16. Sultan Mahmud Shah III **
17. Sultan Abdul Rahman Muadzam Shah **
18. Sultan Hussain Shah (Tengku Long) **
19. Sultan Ali (Tengku Ali)

Dinasti Temenggung
20. Raja Temenggung Tun Daeng Ibrahim
21. Sultan Abu Bakar
22. Sultan Ibrahim
23. Sultan Ismail
24. Sultan Mahmud Iskandar


Kesultanan Johor-Riau-Lingga


Puncak kejayaan pemerintahan ialah ketika wujudnya apa yang disebut Kerajaan Johor-Riau-Lingga, yang merangkumi negeri-negeri di bawah takluk Melaka seperti Johor (termasuk Singapura), Rembau, Selangor, Manjong, Beruas, Perak, Pahang, kepulauan Riau dan Lingga (yang mana kerajaan ini juga disebut mengikut sejarah sebagai Kerajaan Johor-Riau-Lingga-Pahang).


Kesultanan Johor-Riau-Lingga mula berpecah selepas kemangkatan Sultan Mahmud Shah **, dengan percaturan Inggeris-Belanda Kesultanan Johor-Riau-Lingga telah terbahagi kepada dua iaitu Johor (termasuk Singapura) di bawah Inggeris dengan Tengku Hussain Shah ** dilantik sebagai Sultan Johor ke-18 sementara Riau-Lingga di bawah pengaruh Belanda dengan melantik Sultan Abdul Rahman Muadzam Shah ** sebagai Sultan Riau-Lingga yang pertama.


Next blog...Kak Ungku akan menulis tentang perpecahan Kerajaan Johor-Riau-Lingga.


Bersambung.....

Related Posts with Thumbnails