Perokok-perokok didapati sering kali memikirkan untuk berhenti daripada merokok dan sebahagian besar telah pun mencubanya beberapa kali.Kebanyakan mereka sedar yang merokok itu merosakkan kesihatan mereka dan menjejaskan kesihatan orang-orang di sekeliling mereka.
Memang sukar berhenti merokok kerana dunia sains telah mengenal pasti sebab-sebab yang menyukarkan seseorang untuk berjaya berhenti merokok, dan punca utamanya ialah sifat ketagihan terhadap nikotin, suatu bahan dadah yang terdapat dalam kandungan asap rokok.
Nikotin, yang terdapat dalam rokok,mengalami tindak balas di dalam otak dengan cara yang sama seperti dadah heroin dan mempunyai satu laluan yang sama di dalam otak yang menjadi punca utama penagihan.
Ketagihan
Tiada bezanya sifat ketagihan nikotin dan heroin. Gejala ketagihan terhadap nikotin ternyata tidak berbeza dengan dadah heroin,setelah dikaji dengan lebih mendalam.
Seseorang yang kehabisan rokok akan melalui beberapa keadaan 'perasaan' dengan mulanya mengalami muram,diam,diikuti oleh hilang tumpuan ,seterusnya tidak tenang dan resah, dan diakhiri dengan perasaan mudah marah.
Masalah ini jarang disedari oleh orang awam dan sebahagian besar perokok, kecuali jika diperhatikan dengan sungguh-sungguh.
Memandangkan rokok mudah diperolehi di merata tempat dengan harga yang murah dan boleh dihisap di khalayak ramai tanpa masalah seperti dadah heroin, maka seorang perokok,dari masa ke semasa, dapat menambah keperluan nikotin di dalam darah setelah merasakan ada keinginan untuk merokok.
Dengan ini seseorang yang terjerat dengan ketagihan merokok, akan meneruskan tabiat itu kerana tidak tahan dengan perasaan gian yang dialaminya jika keputusan dadah nikotin dalam darah mereka.
Perkara ini memang diketahui oleh industri rokok dan mereka menyalahkan perokok sendiri kerana itu adalah pilihan perokok.
Perokok mengalami kesukaran berhenti merokok kerana tubuhnya yang telah terbiasa dengan dadah nikotin yang mana ketiadaannya dalam masa dua hingga empat jam akan mula mengalami gejala gian atau "withdrawal".
Pemikiran yang sihat dan matang sudah pasti akan menolak sebarang unsur ketagihan untuk dijadikan sebagai suatu amalan.Ketagihan menyebabkan kemuliaan manusia dikurangkan kerana manusia terpaksa patuh kepada dorongan ketagihan dan bukannya pemikiran yang stabil.
Kerajaan sedar terdapat satu juta rakyat Malaysia yang beragama islam merokok. Pelbagai usaha dijalankan untuk membantu perokok-perokok Muslim berhenti merokok.
Salah satu usaha yang didapati berkesan ialah meminta masyarakat Islam yang merokok supaya berhenti menjelang tiba bulan Ramadan al-mubarak.
Dengan tema 'Nafas Baru Mulai Ramadan' para Muslimin beramai-ramai disyorkan supaya dapat meninggalkan tabiat merokok ini dengan nafas yang baru, yang bersih daripada asap rokok mulai Ramadan.
Kementerian Kesihatan Malaysia bersama-sama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia(JAKIM),Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Persatuan Perubatan Islam Malysia PPIM) dan beberapa badan lain, sedang mnjalankan pelbagai usaha untuk membantu perokok-perokok Muslim berhenti merokok menjelang tiba bulan Ramadan al-mubarak.
Bulan Ramadan, seperti mana kita ketahui adalah suatu bulan yang tinggi darjatnya di sisi Allah s.w.t., juga merupakan penghulu segala bulan.
Ia adalah bulan yang diturunkan kitab suci al-Quran yang menjadi petunjuk bagi manusia dan pelbagai keterangan untuk membezakan yang benar dan salah.
Suasana harian masyarakat Islam Malysia berubah pada bulan Ramadan. Suasana tempat kerja, di pejabat, di rumah pada waktu siang dan malam berbeza dibandingkan dengan bulan-bulan yang lain, yang mana didapati sangat kondusif atau memberi situasi dan keadaan yang baik untuk berhenti merokok.
Kajian
Hasil kajian mendapati lebih 95 peratus perokok-perokok Muslim menyatakan bahawa adalah mudah untuk berhenti merokok pada bulan Ramadan.
Walaupun asap rokok mengandungi dadah nikotin, pada bulan Ramadan al-Mubarak seorang perokok yang kuat sekalipun boleh berhenti merokok mulai dari sahur hinggalah masa berbuka yang melebihi 12 jam.
Ini adalah satu perkara yang tidak dapat dijawab dengan ilmu sains kerana mengikut keadaan biasa setelah dadah nikotin dalam darah menurun beberapa jam sahaja, otak akan memberi arahan meminta tambahan nikotin.
Nikotin yang terdapat dalam rokok mengalami tindak balas di dalam otak dengan cara yang sama seperti heroin dan mempunyai satu laluan yang sama di dalam otak yang menjadi punca utama penagihan
Perkara ini tidak berlaku semasa bulan Ramadan kerana perokok-perokok boleh berhenti melebihi 12 jam tanpa merokok.
Ini berlaku kerana iman di dada yang sedar akan keperluan menunaikan ibadah puasa dan dengan kekuatan rohani itu mengatasi pengaruh jasmani atau fizikal.
Untuk berhenti merokok memerlukan motivasi, keazaman dan daya usaha yang gigih bagi mengatasi rasa ketagih terhadap dadah nikotin, khasnya pada luar bulan Ramadan kerana di samping tidak ada kewajipan untuk berpuasa, terdapat ramai kawan sekerja merokok pada siang hari, terutama semasa sama-sama minum pagi atau makan tengahari.
Pengaruh kawan-kawan mempunyai peranan yang besar dalam menyukarkan usaha berhenti merokok. Masalah ini tidak dihadapi pada bulan Ramadan yang mana suasana dan rutin kegiatan pekerja-pekerja berbeza.
Justeru sempena bulan Ramadan al-mubarak ini diharapkan agar kawan-kawan dapat berbincang dan berusaha untuk berhenti bersama.
Riwayat
Ada sebuah riwayat menyebut, bahawa semua pintu langit dan pintu syurga dibuka setiap bulan Ramadan, semua iblis dan syaitan dirantai, supaya mereka tidak mengacau dan menganggu kaum Muslimin dan seterusnya merosakkan puasa dan bangun malam mereka.
Bersabda Nabi s.a.w. mengenai bulan Ramadan : Bulan Ramadan itu ialah bulan kesabaran, dan ganjaran kesabaran ialah masuk syurga.
Dengan berbekalkan iman dan semangat yang kental, marilah kita mengambil kesempatan ini untuk berhenti merokok.Semoga kita berjaya meninggalkan tabiat yang merosakkan jasmani dan rohani kita sempena bulan Ramadan al-mubarak yang penuh keberkatan ini.
What Does A Dyslexic Person See When She Reads?
14 years ago
0 Yorum var:
Sen de yaz