Wednesday 28 September 2011

Rahsia Musibah


Kata musibah seringkali diulang dalam Al Qur’an untuk makna peristiwa atau bencana yang menimpa. Dan Allah tegaskan bahwa itu terjadi kerana izinNya. Ini menunjukkan bahawa di atas segala kekuatan ada kekuatan Allah. Bahawa manusia di alam ini hanya makhluk yang lemah, maka tidak sepatutunya merasa diri berkuasa. Lalu bertindak mengikut nafsunya. Lebih jauh, setiap musibah yang menimpa juga memperlihatkan bahawa alam ini di bawah urusan Allah. Sebab Dialah memang Pemiliknya. Maka tidak pantas manusia di muka bumi ini mengabaikanNya.

Namun kenyataan sejarah selalu dipenuhi contoh-contoh manusia yang membangkang. Manusia yang berani melawan Allah. Manusia yang merasa tidak patuh kepada tuntunanNya. Sehingga wahyu yang Allah turunkan dianggap tidak penting. Bahkan tidak sedikit manusia yang meragukan Al-Qur’an dan sunnah RasulNya. Akibatnya berbagai perilaku manusia semakin jauh dari apa yang Allah inginkan. Perzinaan di mana-mana dianggap biasa, padahal Allah melarangnya. Harta haram dibanggakan, padahal itu harta yang paling Allah benci. Kezaliman di mana-mana terjadi, padahal Allah mengharamkan atas diri-Nya kezaliman dan lain sebaginya.

Ini semua tentu dimurkai oleh Allah. Dan dalam Al-Qur’an, misalnya surah Al-Fajr, Allah menjelaskan bahwa turunnya azab sebenarnya bukan semata fenomena alam – seperti yang banyak difahami manusia modern – melainkan ada sebab yang diperbuat oleh manusia sendiri. Itulah kisah azab yang menimpa kaum Aad, kaum Tsamud dan kaum Fir’un.

Dari sini kita belajar bahwa bencana tetap di luar kemampuan manusia, kerana Allah langsung yang mengendalikannya. Dan manusia tidak punya pilihan –apapun upaya yang dilakukan – kecuali hanya tunduk dan patuh kapada Allah sepenuh hati dan semaksimum kemampuan. Jangan ulangi kembali dosa-dosa yang membuat Allah murka. Jauhi segala apa yang Allah haramkan. Ingat Allah mempunyai tujuan dan aturan. Maka sebagai makhluk, manusia harus tahu diri. Jangan menganggap dirinya sama dengan Allah. Lalu merasa independen dan menganggap dirinya mampu bertahan hidup tanpa Allah. Segeralah bertaubat, selamatkan kemanusiaan. Hindari mengagungkan kepentingan peribadi di atas kepentingan umum. Kerana seringkalai kezaliman terjadi kerana nafsu mendahulukan kepentingan peribadi. Ingat bahwa semakin banyak kezaliman pasti akan semakin banyak kerosakan di muka bumi. Dan semakin banyak kerosakan, kemaksiatan dan dosa-dosa pasti akan semakin mempercepat turunnya azab Allah swt.

Renungkan ayat berikut (dalam surah Al-Fajr 6-13) Allah menegaskan setelah menyebutkan tiga contoh kaum yang pernah maju dari segi peradaban dunia iaitu: kaum Aad, Tsamud dan Fir’un: Allah berfirman: “Alladziina thagahaw fil bilaad, faaktsaruu fiihal fasaad, fashaabba alaihim rabbuka sawtha adzaab (mereka telah berbuat kerosakan di negeri mereka, maka menyebarlah kerosakan di negeri tersebut, lalu Allah timpakan azab yang pedih ke atas mereka).”

Memang tidak semua musibah menimpa orang-orang yang lalai. Ada juga contoh-contoh orang baik yang mendapat musibah. Berdasarkan ini tidak semua musibah yang menimpa harus kita fahami sebagai azab. Setidaknya ada tiga makna di sebalik setiap musibah yang menimpa manusia: Pertama, bila musibah itu menimpa sekelompok manusia yang semuanya kafir itu adalah azab, seperti yang Allah timpakan atas kaum Adz, Tsamud dan Fir’un. Kedua, bila ia menimpa sekelompok manusia yang beriman, sebahagiannya patuh sementara sebahagian yang lain berdosa, itu adalah peringatan, agar tidak dilanjutkan dosa-dosa tersebut. Ketiga, bila ia menimpa sekelompok kaum yang soleh, ujian itu untuk mencuci dosa-dosanya serta menaikkan darjatnya di dunia dan di syurga. Kerananya Allah berfirman: “Wabasysyirish shaabiriin (dan berilah khabar gembira bagi mereka yang sabar).” Maksudnya bahawa syarat untuk lulus dari setiap musibah adalah sabar: sabar mentaati Allah, sabar menjauhi kemaksiatan dan sabar menjalani ujianNya.

Semoga segala musibah yang menimpa kita semakin menguatkan hakikat kesabaran dalam jiwa. Dan membuat kita semakin dekat kepada Allah secara jujur dan di mana pun kita berada, bukan sekadar ingat di saat musibah menimpa. Wallahua'lam.

Thursday 22 September 2011

Mengapa Hati Mati?

oleh: Ustaz Zainudin Hashim

Hati adalah organ paling utama dalam tubuh manusia dan ia nikmat paling agung diberikan Allah. Hati menjadi tempat Allah membuat penilaian terhadap hamba-Nya. Pada hatilah letaknya niat seseorang.

Niat ikhlas itu akan diberi pahala. Hati perlu dijaga dan dipelihara dengan baik agar tidak rosak, sakit, buta, keras dan lebih-lebih lagi tidak mati. Sekiranya berlaku pada hati keadaan seperti ini, kesannya membabitkan seluruh anggota tubuh manusia. Akibatnya, akan lahir penyakit masyarakat berpunca daripada hati yang sudah rosak itu.

Justeru, hati menjadi amanah yang wajib dijaga sebagaimana kita diamanahkan menjaga mata, telinga, mulut, kaki, tangan dan sebagainya daripada berbuat dosa dan maksiat.

Hati yang hitam ialah hati yang menjadi gelap kerana bergelumang dengan dosa. Setiap dosa yang dilakukan tanpa bertaubat akan menyebabkan satu titik hitam pada hati. Itu baru satu dosa. Bayangkan bagaimana kalau 10 dosa? 100 dosa? 1,000 dosa? Alangkah hitam dan kotornya hati ketika itu.

Perkara ini jelas digambarkan melalui hadis Rasulullah yang bermaksud:

"Sesiapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya. Jika dia tidak bertaubat maka titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam."

(Hadis riwayat Ibn Majah)

Hadis ini selari dengan firman Allah bermaksud:

كَلّا ۖ بَل ۜ رانَ عَلىٰ قُلوبِهِم ما كانوا يَكسِبونَ

"Sebenarnya ayat-ayat Kami tidak ada cacatnya, bahkan mata hati mereka sudah diselaputi kotoran dosa dengan sebab perbuatan kufur dan maksiat yang mereka kerjakan."

(Surah al-Muthaffifiin, ayat 14)

Hati yang kotor dan hitam akan menjadi keras. Apabila hati keras, kemanisan dan kelazatan beribadat tidak dapat dirasakan. Ia akan menjadi penghalang kepada masuknya nur iman dan ilmu. Belajar sebanyak mana pun ilmu yang bermanfaat atau ilmu yang boleh memandu kita, namun ilmu itu tidak masuk ke dalam hati, kalau pun kita faham, tidak ada daya dan kekuatan untuk mengamalkannya.

Dalam hal ini Allah berfirman yang bermaksud:

ثُمَّ قَسَت قُلوبُكُم مِن بَعدِ ذٰلِكَ فَهِىَ كَالحِجارَةِ أَو أَشَدُّ قَسوَةً ۚ وَإِنَّ مِنَ الحِجارَةِ لَما يَتَفَجَّرُ مِنهُ الأَنهٰرُ ۚ وَإِنَّ مِنها لَما يَشَّقَّقُ فَيَخرُجُ مِنهُ الماءُ ۚ وَإِنَّ مِنها لَما يَهبِطُ مِن خَشيَةِ اللَّهِ ۗ وَمَا اللَّهُ بِغٰفِلٍ عَمّا تَعمَلونَ

"Kemudian selepas itu, hati kamu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Pada hal antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir sungai daripadanya dan ada pula antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya. Dan ada juga antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan."

(Surah al-Baqarah ayat 74)

Begitulah Allah mendatangkan contoh dan menerangkan batu yang keras itu pun ada kalanya boleh mengalirkan air dan boleh terpecah kerana amat takutkan Allah. Oleh itu, apakah hati manusia lebih keras daripada batu hingga tidak boleh menerima petunjuk dan hidayah daripada Allah.

Perkara paling membimbangkan ialah apabila hati mati akan berlaku kemusnahan amat besar terhadap manusia. Matinya hati adalah bencana dan malapetaka besar yang bakal menghitamkan seluruh kehidupan. Inilah akibatnya apabila kita lalai dan cuai mengubati dan membersihkan hati. Kegagalan kita menghidupkan hati akan dipertanggungjawabkan Allah pada hari akhirat kelak.

Kenapa hati mati?

Hati mati disebabkan perkara berikut:

1. Hati mati kerana tidak berfungsi mengikut perintah Allah iaitu tidak mengambil iktibar dan pengajaran daripada didikan dan ujian Allah. Allah berfirman bermaksud:

فَوَيلٌ لِلقٰسِيَةِ قُلوبُهُم مِن ذِكرِ اللَّهِ ۚ أُولٰئِكَ فى ضَلٰلٍ مُبينٍ

"Maka kecelakaan besarlah bagi orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya adalah dalam kesesatan yang nyata."

(Surah al-Zumar ayat 22)

2. Hati juga mati jika tidak diberikan makanan dan santapan rohani dengan sewajarnya. Kalau tubuh badan boleh mati kerana tuannya tidak makan dan tidak minum, begitu juga hati. Apabila ia tidak diberikan santapan dan tidak diubati, ia bukan saja akan sakit dan buta, malah akan mati akhirnya. Santapan rohani yang dimaksudkan itu ialah zikrullah dan muhasabah diri.

Oleh itu, jaga dan peliharalah hati dengan sebaik-baiknya supaya tidak menjadi kotor, hitam, keras, sakit, buta dan mati. Gilap dan bersihkannya dengan cara banyak mengingati Allah (berzikir). Firman Allah bermaksud:

الَّذينَ ءامَنوا وَتَطمَئِنُّ قُلوبُهُم بِذِكرِ اللَّهِ ۗ أَلا بِذِكرِ اللَّهِ تَطمَئِنُّ القُلوبُ

"Iaitu orang yang beriman dan tenteram hati mereka dengan mengingati Allah. Ketahuilah! Dengan mengingati Allah itu tenang tenteramlah hati manusia."

(Surah al-Ra'd ayat 28)

Firman-Nya lagi bermaksud:

يَومَ لا يَنفَعُ مالٌ وَلا بَنونَ

"Hari yang padanya harta benda dan anak-anak tidak dapat memberikan sebarang pertolongan,

إِلّا مَن أَتَى اللَّهَ بِقَلبٍ سَليمٍ

kecuali harta benda dan anak-anak orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera daripada syirik dan munafik."

(Surah Ash-Shu’ara ayat 88-89)

Tanda-tanda hati mati

Menurut Syeikh Ibrahim Adham, antara sebab atau tanda-tanda hati mati ialah:

    1. Mengaku kenal Allah SWT, tetapi tidak menunaikan hak-hak-Nya.
    2. Mengaku cinta kepada Rasulullah s.a.w., tetapi mengabaikan sunnah baginda.
    3. Membaca al-Quran, tetapi tidak beramal dengan hukum-hukum di dalamnya.
    4. Memakan nikmat-nikmat Allah SWT, tetapi tidak mensyukuri atas pemberian-Nya.
    5. Mengaku syaitan itu musuh, tetapi tidak berjuang menentangnya.
    6. Mengaku adanya nikmat syurga, tetapi tidak beramal untuk mendapatkannya.
    7. Mengaku adanya seksa neraka, tetapi tidak berusaha untuk menjauhinya.
    8. Mengaku kematian pasti tiba bagi setiap jiwa, tetapi masih tidak bersedia untuknya.
    9. Menyibukkan diri membuka keaiban orang lain, tetapi lupa akan keaiban diri sendiri.
    10. Menghantar dan menguburkan jenazah/mayat saudara se-Islam, tetapi tidak mengambil pengajaran daripadanya.

Semoga dengan panduan yang di sampaikan itu akan dapat kita sama-sama mengambil iktibar semoga segala apa yang kita kerjakan akan diredai Allah SWT.

Menurut Sheikh Ibni Athoillah Iskandari dalam kalam hikmahnya yang berikutnya:

Sebahagian daripada tanda mati hati itu ialah jika tidak merasa dukacita kerana tertinggal sesuatu amal perbuatan kebajikan juga tidak menyesal jika terjadi berbuat sesuatu pelanggaran dosa.

Mati hati itu adalah kerana tiga perkara iaitu:

    1. Hubbul dunia (kasihkan dunia)
    2. Lalai daripada zikirullah (mengingati Allah)
    3. Membanyakkan makan dan menjatuhkan anggota badan kepada maksiat kepada Allah.

Hidup hati itu kerana tiga perkara iaitu:

    1. Zuhud dengan dunia
    2. Zikrullah
    3. Bergaul atau berkawan dengan aulia Allah.

25 Pesanan Luqman Al-Hakim Kepada Anak-Anaknya

Pesanan #1: “Hai anakku, ketahuilah sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak manusia yang karam di dalamnya. Bila engkau ingin selamat agar jangan karam, layarilah lautan itu dengan sampan yg bernama Takwa, isinya ialah Iman dan layarnya adalah Tawakkal kepada ALLAH.”

1 - dunia ibarat laut yang dalam


Pesanan #2:
“Orang-orang yang sentiasa menyediakan dirinya untuk menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat penjagaan dari ALLAH. Orang yang insaf dan sedar setelah menerima nasihat orang lain, dia akan sentiasa menerima kemulian dari ALLAH juga.”

2 - terima nasihat


Pesanan #3:
“Hai anakku, orang yg merasa dirinya hina dan rendah diri dalam beribadat dan taat kpd ALLAH, maka dia tawadduk kepada ALLAH, dia akan lebih dekat kepada ALLAH dan selalu berusaha menghindarkan maksiat kepada ALLAH.”

3 - tawadduk


Pesanan #4:
“Hai anakku, seandainya ibubapamu marah kepadamu kerana kesilapan yang dilakukanmu, maka marahnya ibubapamu adalah bagaikan baja bagi tanam tanaman.”

4 - baja bagi tanaman


Pesanan #5:
“Jauhkan dirimu dari berhutang, kerana sesungguhnya berhutang itu boleh menjadikan dirimu hina di waktu siang dan gelisah di waktu malam.”

5 - hutang


Pesanan #6:
“Dan selalulah berharap kepada ALLAH tentang sesuatu yg menyebabkan untuk tidak menderhakai ALLAH. Takutlah kepada ALLAH dengan sebenar-benar takut ( taqwa ), tentulah engkau akan terlepas dari sifat berputus asa dari rahmat ALLAH.”

6 - putus asa dari rahmat Allah


Pesanan #7:
“Hai anakku, seorang pendusta akan lekas hilang air mukanya kerana tidak dipercayai orang dan seseorang yang telah rosak akhlaknya akan sentiasa banyak melamunkan hal- hal yang tidak benar. Ketahuilah, memindahkan batu besar dari tempatnya semula itu lebih mudah daripada memberi pengertian kepada orang yang tidak mahu mengerti.”

7 - pendusta akan hilang kpercayaan


Pesanan #8:
“Hai anakku, engkau telah merasakan betapa beratnya mengangkat batu besar dan besi yang amat berat, tetapi akan lebih berat lagi daripada semua itu, adalah bilamana engkau mempunyai tetangga (jiran) yang jahat.”

8 - jiran tetangga yang jahat


Pesanan #9:
“Hai anakku, janganlah engkau mengirimkan orang yang bodoh sebagai utusan. Maka bila tidak ada orang yang cerdik, sebaiknya dirimulah saja yang layak menjadi utusan.”

9 - orang bodoh sebagai utusan


Pesanan #10:
“Jauhilah bersifat dusta, sebab dusta itu mudah dilakukan, bagaikan memakan daging burung, padahal sedikit sahaja berdusta itu telah memberikan akibat yang berbahaya.”

10 - dusta dan daging burung


Pesanan #11:
“Hai anakku, bila engkau mempunyai dua pilihan, takziah orang mati atau hadir majlis perkahwinan, pilihlah utk menziarahi orang mati, sebab ianya akan mengingatkanmu kepada kampung akhirat sedangkan menghadiri pesta perkahwinan hanya mengingatkan dirimu kepada kesenangan duniawi sahaja.”

11 - pilih majlis


Pesanan #12:
“Janganlah engkau makan sampai kenyang yang berlebihan, kerana sesungguhnya makan yang terlalu kenyang itu adalah lebih baiknya bila makanan itu diberikan kepada anjing sahaja.”

12 - jangan makan sampai kenyang


Pesanan #13:
“Hai anakku, janganlah engkau langsung menelan sahaja kerana manisnya barang dan janganlah langsung memuntahkan saja kerana pahitnya sesuatu barang itu, kerana manis belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit itu belum tentu menimbulkan kesengsaraan.”

13 - pahit dan manis


Pesanan #14:
“Makanlah makananmu bersama-sama dengan orang-orang yang taqwa dan bermusyawarahlah urusanmu dengan para alim ulamak dengan cara meminta nasihat dari mereka.”

14 - makan bersama orang yang bertakwa


Pesanan #15:
“Hai anakku, bukanlah satu kebaikan namanya bilamana engkau selalu mencari ilmu tetapi engkau tidak pernah mengamalkannya. Hal itu tidak ubah bagaikan orang yang mencari kayu api, maka setelah banyak ia tidak mampu memikulnya, padahal ia masih mahu menambahkannya.”

15 - ilmu untuk diamalkan


Pesanan #16:
“Hai anakku, bilamana engkau mahu mencari kawan sejati, maka ujilah terlebih dahulu dengan berpura-pura membuat dia marah. Bilamana dalam kemarahan itu dia masih berusaha menginsafkan kamu, maka bolehlah engkau mengambil dia sebagai kawan. Bila tidak demikian, maka berhati-hatilah.”

16 - mencari kawan sejati


Pesanan #17:
“Selalulah baik tutur kata dan halus budi bahasamu serta manis wajahmu, dengan demikian engkau akan disukai orang melebihi sukanya seseorang terhadap orang lain yang pernah memberikan barang yang berharga.”

17 - bertutur dengan baik dan sopan serta bermanis muka


Pesanan #18:
“Hai anakku, bila engkau berteman, tempatkanlah dirimu padanya sebagai orang yang tidak mengharapkan sesuatu daripadanya. Namun biarkanlah dia yang mengharapkan sesuatu darimu.”

18 - pilih teman yang berharap


Pesanan #19:
“Jadikanlah dirimu dalam segala tingkahlaku sebagai orang yang tidak ingin menerima pujian atau mengharapkan sanjungan orang lain kerana itu adalah sifat riya' yang akan mendatangkan cela pada dirimu.”

19 - jangan riya' dan mengharapkan sanjungan


Pesanan #20:
“Hai anakku, janganlah engkau condong kepada urusan dunia dan hatimu selalu disusahkan oleh dunia saja kerana engkau diciptakan ALLAH bukanlah untuk dunia sahaja. Sesungguhnya tiada makhluk yang lebih hina daripada orang yang terpedaya dengan dunianya.”

20 - jangan condong kepada dunia


Pesanan #21:
“Hai anakku, usahakanlah agar mulutmu jangan mengeluarkan kata-kata yang busuk dan kotor serta kasar, kerana engkau akan lebih selamat bila berdiam diri. Kalau berbicara, usahakanlah agar bicaramu mendatangkan manfaat bagi orang lain.”

21 - berdiam diri lebih baik dari berkata yang kotor


Pesanan #22:
“Hai anakku, janganlah engkau mudah ketawa kalau bukan kerana sesuatu yang menggelikan, janganlah engkau berjalan tanpa tujuan yang pasti, janganlah engkau bertanya sesuatu yang tidak ada guna bagimu, janganlah mensia-siakan hartamu.”

22 - berjalan tanpa tujuan dan mensia-siakan harta


Pesanan #23:
“Barang siapa yang penyayang tentu akan disayangi, sesiapa yang pendiam akan selamat daripada berkata yang mengandungi racun, dan sesiapa yang tidak dapat menahan lidahnya dari berkata kotor tentu akan menyesal.”

23 - disayangi dan tiada penyesalan


Pesanan #24:
“Hai anakku, bergaul rapatlah dengan orang yang alim lagi berilmu. Perhatikanlah kata nasihatnya kerana sesungguhnya sejuklah hati ini mendengarkan nasihatnya, hiduplah hati ini dengan cahaya hikmah dari mutiara kata-katanya bagaikan tanah yang subur lalu disirami air hujan.”

24 - bergaul rapat dengan orang yang alim dan berilmu


Pesanan #25:
“Hai anakku, ambillah harta dunia sekadar keperluanmu sahaja, dan nafkahkanlah yang selebihnya untuk bekalan akhiratmu. Jangan engkau tendang dunia ini ke keranjang atau bakul sampah kerana nanti engkau akan menjadi pengemis yang membuat beban orang lain. Sebaliknya janganlah engkau peluk dunia ini serta meneguk habis airnya kerana sesungguhnya yang engkau makan dan pakai itu adalah tanah belaka. Janganlah engkau bertemankan dengan orang yang bersifat talam dua muka, kelak akan membinasakan dirimu.”

25 - ala kadar dan jangan hipokrit



Credit to: http://cheahmad.blogspot.com

Tuesday 13 September 2011

Ayat Kursi Ayat Paling Agung Dalam Al-Quran

FIRMAN Allah bermaksud: "Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia Yang Hidup kekal lagi terus menerus mengurus (makhlukNya); tidak mengantuk dan tidak tidur. KeupayaanNya apa yang di langit dan di bumi. Tiada yang dapat memberi syafaat di sisi Allah tanpa izinNya. Allah mengetahui apa yang di hadapan dan di belakang mereka dan mereka tidak mengetahui apa pun daripada ilmu Allah melainkan apa yang dikehendakiNya. Kursi Allah meliputi langit dan bumi. Dan Allah tidak merasa berat memelihara kedua-duanya dan Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar" (al-Baqarah: 255).

Ayat ini dikenali sebagai ayat Kursi, ayat yang paling agung dalam Al-Quran, malah ia disebut sebagai penghulu bagi seluruh ayat Al-Quran. Dari segi sejarahnya, ia diturunkan pada waktu malam. Pada ketika itu juga Nabi memanggil Zaid selaku penulis wahyu untuk menulisnya. Dalam ayat yang pendek ini sebenarnya terkumpul sifat utama bagi Allah iaitu ketuhanan, keesaan, hidup, ilmu, memiliki kerajaan, kekuasaan dan kehendak.

Sesudah menegaskan mengenai keesaanNya, disusuli pula dengan menyebut dua sifatNya yang lain, iaitu hidup dan terus menerus mengurus makhlukNya. Dengan demikian, manusia akan merasa aman dalam hidup serta tenang perasaannya kerana meyakini bahawa dia di dalam tangan Tuhan yang hidup, yang terus menerus mengurus serta mengawal jaga keadaan hambaNya.

Allah, Dialah Tuhan yang tunggal bagi segala makhluk. Oleh itu, tiada yang berhak disembah dalam kehidupan ini melainkan Dia. Segala apa yang ada di langit dan bumi adalah hamba dan milikNya. Semuanya tunduk di bawah kehendak dan kuasaNya, seperti firman Allah bermaksud: "Tidak seorang pun di langit dan bumi, kecuali akan datang kepada Tuhan Yang Maha Pemurah selaku seorang hamba. Sesungguhnya Allah menentukan jumlah mereka dan menghitung mereka dengan hitungan yang teliti. Dan setiap mereka akan datang kepada Allah pada hari kiamat dengan sendiri-sendiri" (Maryam: 93-95).

Di antara tanda keAgungan dan kebesaran Allah bahawa tiada seorang pun yang berani memberi pertolongan kepada seorang lain di sisiNya tanpa izinNya. Firman Allah bermaksud: "Ketika datang hari itu, tidak seorang pun berbicara, melainkan dengan izinNya; maka di antara mereka ada yang celaka dan ada yang berbahagia" (Hud: 105).

Ilmu Allah amat luas, meliputi segala makhluk ciptaanNya, baik yang dahulu, sekarang dan akan datang, bahkan Allah mengetahui segala urusan dunia dan akhirat. Allah juga amat luas kerajaan dan kekuasaanNya, langit dan bumi seluruhnya di dalam genggamanNya.

Itulah ayat yang mengandungi kaedah pembentukan keimanan terhadap Allah. Dari sinilah terbina hala tuju pengabdian seseorang hanya kepada Allah. Dengan demikian, tidaklah seorang manusia melainkan menjadi hamba, hanya kepada Allah, tidaklah dia menjuruskan pengabdiannya melainkan kepada Allah dan tidaklah dia menyerahkan ketaatannya melainkan kepada Allah.

Selain itu, ayat ini mempunyai beberapa kelebihan yang tidak ada pada ayat lain. Daripada kedudukannya dalam Al-Quran, sabda Nabi ketika ditanya oleh Abu Zar: "Ayat manakah yang diturunkan kepadamu yang paling Agung?" Jawab Baginda: "Ia adalah ayat Kursi" (riwayat Imam Ahmad, al-Nasai, al-Hakim dan al-Baihaqi).

Daripada sudut keberkatannya di dunia, sabda Rasulullah: "Bacalah ayat Kursi kerana sesungguhnya ia mengawal jaga kamu, zuriat dan rumah tangga kamu sehingga bilik kecil di sekeliling rumahmu." Dari segi keberkatannya dalam menghalau syaitan, sabda Rasulullah: "Di dalam surah al-Baqarah, ada satu ayat yang menjadi penghulu bagi ayat Al-Quran, tidak dibacanya dalam rumah yang ada di dalamnya syaitan melainkan keluar ia daripadanya, itulah ayat Kursi" (riwayat al-Hakim).

Daripada sudut keberkatannya ketika mati dan di akhirat, sabda Rasulullah: "Sesiapa yang membaca ayat Kursi selepas setiap solat fardu, Allah akan memberikannya hati orang yang bersyukur, amalan orang yang membenarkan Allah, pahala nabi-nabi, melimpahkan rahmat-Nya dan tidak menghalangnya daripada masuk syurga melainkan kematian yang akan memasukkannya"
(riwayat al-Nasai).

Ciri-Ciri Calon Menantu Lelaki Pilihan Kami (Bakal2 Ibu Mertua)

KASIH manusia sering bermusim, sayang manusia tiada abadi.
Kasih Tuhan tiada "bertepi, sayang Tuhan janji-Nya pasti.

ITULAH sedikit dari bait-bait lagu Raihan. Lantaran kasih manusia yang sering bermusim dan sayangnya yang tidak kekal lama, kita perlu sentiasa berwaspada terutamanya dalam memilih pasangan. Andainya sedikit daripada cinta itu hendak diberi pada seseorang yang boleh digelar suami, kepada puteri-puteriku, carilah suami yang mempunyai ciri-ciri berikut:

Kuat agamanya
Biar sibuk sekalipun, solat fardu tetap terpelihara. Utamakanlah pemuda yang taat pengamalan agamanya. Utamakanlah pemuda yang jujur membimbing dan memelihara imanmu.

Baik akhlaknya
Ketegasannya nyata tetapi dia lembut dan bertolak-ansur hakikatnya. Sopan tutur kata gambaran peribadi dan hati yang mulia. Rasa hormatnya pada warga tua ketara. Mudah di bawa berbincang. Tidak terlalu berahsia.

Tegas mempertahankan maruah
Jujur sebagai pelindung maruah isteri dan keluarganya.

Amanah
Amanah dalam menjalankan tanggungjawab serta tugas-tugasnya sebagai ketua keluarga, suami, ayah dan sebagai pekerja. Jika dia pernah mengabaikan tugas yang diberi dengan sengaja ditambah pula salah guna kuasa, lupakan saja si dia.

Pemurah tetapi tidak boros
Dia bukanlah kedekut tapi tahu membelanjakan wang dan harta dengan bijaksana. Setiap nikmat yang ada dikongsi bersama mereka yang berhak.

Tidak liar matanya
Perhatikan apakah matanya kerap meliar ke arah perempuan lain yang lalu-lalang ketika berbicara. Jika ya jawabnya, dia bukanlah calon yang sesuai buat kamu.

Terbatas pergaulan
Sebagai lelaki dia tahu dia tidak mudah jadi fitnah orang, tetapi dia tidak mengamalkan cara hidup bebas.

Rakan pergaulannya
Rakan2 pergaulannya adalah mereka yang sepertinya. Sebaik-baik teman adalah teman yang soleh.

Bertanggungjawab
Rasa tanggungjawabnya dapat diukur kepada sejauh mana dia memperuntukkan dirinya untuk ibu bapa dan ahli keluarganya. Mampu menyara keluarganya dengan rezeki dan punca pendapatan yang halal. Selain itu carilah lelaki yang ringan tulang suka membantu melakukan kerja-kerja rumah, sesungguhnya sikap ini banyak membantu dalam sesebuah rumahtangga itu wahai puteri-puteri ku...

Tenang wajah
Apa yang tersimpan dalam sanubari kadang2 terpancar pada air muka. Wajahnya tenang, setenang sewaktu dia bercakap dan bertindak.

Menjaga amarahnya
Boleh mengawal kemarahan, sikap panas baran minta dijauhkan. Kalau dpt juga suami yang panas baran...kenalah selalu amalkan ayat pelembut hati.... ;D

Berbahagialah kamu puteri-puteriku jika diintai calon yang demikian sifatnya dan kami sebagai ibu mu merasa lega untuk melepaskan mu....

Pesanan Bonda Buat Puteri-Puterinya...

Pesanan Buat Puteri-Puteriku........

Bersedialah menjadi seorang isteri yang mentaati Allah dan suamimu.
Bukan paras rupa yang dicari, cukup sekadar sedap mata memandang.
Berbudi pekerti mulia, pandai mengambil hati suami dan keluarganya.
Menghormati kaum keluarga dan orang tua serta bersikap penyayang.
Selia dalam mengurus rumahtangga, bukan hanya pandai berhias dan melawa sahaja.
Sentiasa bersedia, tabah, sabar menghadapi dugaan hidup - susah dan senang bersama.
Menerima suami seadanya, janganlah menjadi isteri yang suka meminta-minta atas sesuatu yang di luar kemampuan suami.
Senantiasa bersederhana dalam kehidupan, berusahalah menjadi seorang isteri serta ibu mithali sebaik mungkin...apa yang penting molek ilmu dan agamamu.
Perkahwinan yang mendapat redha Allah juga restu ibubapa akan mendapat rahmat, rumahtangga anakanda kekal bahagia, di dunia dan akhirat, insyaAllah.
Ingatlah pesanan bonda ini.....





Saturday 10 September 2011

Jangan Engkau Kahwini Wanita Yang Enam Ini


1- Wanita Ananah
Wanita yang banyak mengeluh dan mengadu dan tiap saat memperalatkan sakit atau berpura-pura sakit.

2- Wanita Mananah
Wanita yang suka mengungkit-ngungkit terhadap suaminya. Wanita ini sering menyatakan seperti ini: “Aku membuat itu keranamu”.

3- Wanita Hananah
Wanita yang menyatakan kasih sayangnya kepada suaminya yang lain, yang dikahwininya sebelum ini atau kepada anaknya dari suami yang lain.

4- Wanita Hadaqah
Wanita yang melemparkan pandangan dan matanya pada tiap sesuatu, lalu menyatakan keinginannya untuk memiliki barang itu dan memaksa suaminya untuk membelinya.

5- Wanita Baraqah
1) Wanita yang sepanjang hari mengilatkan dan menghias mukanya.
2) Wanita yang marah ketika makan dan tidak mahu makan kecuali sendirian dan diasingkannya bahagiannya.

6- Wanita Syadaqah
Wanita yang banyak bercakap perkara yang lagha dan lagi membisingkan.

Sekian buat renungan....

Friday 9 September 2011

Ciri-Ciri Wanita Solehah

Tidak banyak syarat yang dikenakan oleh Islam untuk seseorang wanita menerima gelaran solehah, dan seterusnya menerima pahala syurga yang penuh kenikmatan dari Allah s.w.t.

Mereka hanya perlu memenuhi 2 syarat iaitu :

1. Taat kepada Allah dan Rasul-Nya
2. Taat kepada suami

Perincian dari dua syarat di atas adalah sebagai berikut :

1. Taat kepada Allah dan Rasul-Nya

Bagaimana yang dikatakan taat kepada Allah s.w.t. ?

- Mencintai Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w. melebihi dari segala-galanya.
- Wajib menutup aurat
- Tidak berhias dan berperangai seperti wanita jahiliah
- Tidak bermusafir atau bersama dengan lelaki dewasa kecuali ada mahram bersamanya
- Sering membantu lelaki dalam perkara kebenaran, kebajikan dan taqwa
- Berbuat baik kepada ibu & bapa
- Sentiasa bersedekah baik dalam keadaan susah ataupun senang
- Tidak berkhalwat dengan lelaki dewasa
- Bersikap baik terhadap tetangga

2. Taat kepada suami

- Memelihara kewajipan terhadap suami
- Sentiasa menyenangkan suami
- Menjaga kehormatan diri dan harta suaminya selama suami tiada di rumah
- Tidak bermasam muka di hadapan suami
- Tidak menolak ajakan suami untuk tidur
- Tidak keluar tanpa izin suami
- Tidak meninggikan suara melebihi suara suami
- Tidak membantah suaminya dalam kebenaran
- Tidak menerima tamu yang dibenci suaminya
- Sentiasa memelihara diri, kebersihan & kecantikannya serta rumah tangga

Faktor Yang Merendahkan Martabat Wanita

Sebenarnya puncak rendahnya martabat wanita adalah dari faktor dalaman. Bukanlah faktor luaran atau yang berbentuk material sebagaimana yang digembar-gemburkan oleh para pejuang hak-hak palsu wanita.

Faktor-faktor tersebut ialah:

1) Lupa mengingat Allah.

Kerana terlalu sibuk dengan tugas dan kegiatan luar atau memelihara anak-anak, maka tidak hairanlah jika banyak wanita yang tidak menyedari bahawa dirinya telah lalai dari mengingat Allah. Dan saat kelalaian ini pada hakikatnya merupakan saat yang paling berbahaya bagi diri mereka, di mana syaitan akan mengarahkan hawa nafsu agar memainkan peranannya.

Firman Allah s.w.t. di dalam surah al-Jathiah, ayat 23: ertinya:

" Maka sudahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmunya. Dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya."

Sabda Rasulullah s.a.w.: ertinya:
"Tidak sempurna iman seseorang dari kamu, sehingga dia merasa cenderung kepada apa yang telah aku sampaikan." (Riwayat Tarmizi)

Mengingati Allah s.w.t. bukan saja dengan berzikir, tetapi termasuklah menghadiri majlis-majlis ilmu.

2) Mudah tertipu dengan keindahan dunia.

Keindahan dunia dan kemewahannya memang banyak menjebak wanita ke perangkapnya. Bukan itu saja, malahan syaitan dengan mudah memperalatkannya untuk menarik kaum lelaki agar sama-sama bergelumang dengan dosa dan noda. Tidak sedikit yang sanggup durhaka kepada Allah s.w.t. hanya kerana kenikmatan dunia yang terlalu sedikit.

Firman Allah s.w.t. di dalam Surah al-An'am: ertinya:

" Dan tidaklah penghidupan dunia ini melainkan permainan dan kelalaian dan sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa, oleh kerana itu tidakkah kamu berfikir."

3) Mudah terpedaya dengan syahwat.

4) Lemah iman.

5) Bersikap suka menunjuk-nunjuk.

Sesungguhnya dunia ini adalah perhiasan; perhiasan dunia yang terbaik adalah wanita yang solehah.


Sumber: Artikel iluvislam.com

Tuesday 6 September 2011

9 Sebab Mengapa Hati Tidak Bahagia


Seringkali kita merasa hati kita tidak bahagia dalam kehidupan seharian..
Mengapa kita berasa begitu?? Renungkanlah faktor-faktor yang boleh membawa hati kita tidak bahagia dalam kehidupan...

1) Pemarah
Paling mudah dikesan atau dilihat dan paling banyak di dalam diri manusia. Orang seperti ini jarang mendapat kawan dan hati tentunya tidak terang.

2) Pendendam
Tersembunyi ibarat mengumpul lahar di dalam dada. Orang seperti ini sentiasa mencari-cari peluang untuk membalas dendam hatta secara yang kecil-kecil sekalipun seperti sakitkan hati atau tempelak orang yang didendami itu. Sebab itu orang pendendam mudah kena sakit jantung.

3) Hasad dengki
Amalanya hangus akibat hasad dengkinya itu kerana ia memiliki sifat ketuhanan.

4) Bakhil
Sentiasa merasakan orang lain menginginkan harta, kesenangan, pangkat dan lain-lain dari dirinya. Contohnya sentiasa berdalih mengatakan ia tiada duit. Allah lebih sayang orang yang fasiq tetapi pemurah tetapi benci orang yang abid tetapi bakhil. Kerana walaupun fasiq, pemurahnya itu tetap memberi manfaat pada orang lain kerana kadangkala rezeki itu Allah beri melalui makhluk.

5) Tamak
Orang yang tidak puas dengan yang sedikit nescaya tidak akan puas dengan yang banyak kerana dunia ini ibarat meminum air laut, walau berapa banyak yang diminum tetap tidak habis juga (lagipun orang tamak selalu rugi). Ingat! Yang dikatakan harta atau rezeki kita bila ia dipakai atau digunakan oleh kita. Selagi tidak diguna iaitu disimpan, itu belum boleh dikatakan rezeki kita (mungkin ada hak orang lain di situ). Biarlah rezeki itu sedikit tetapi mendapat keberkatan iaitu dapat dimanfaatkan.

6) Tidak sabar
Andainya perkara yang kecil pun tidak boleh bersabar apatah lagi hal-hal yang lebih besar.

7) Ego
Ibu segala mazmummah jadi ia membuatkan seseorang paling tidak tenang. Orang yang memiliki sifat ini pantang tercabar dari sudut zahir mahupun batin. Pasal semua orang ada egonya sendiri, cuma tinggi atau rendah tahap keegoan tersebut.

8) Riak
Terseksa sendiri kerana sentiasa tercari-cari peluang untuk dipuji. Sentiasa berlakon-lakon di depan orang. Jika ia dipuji, ia akan menambah amalnya tetapi jika dikeji, ia akan mengurangkan amalnya. Allah marah kalau kita riak, takabbur dengan apa yang kita ada.

9) Cinta Dunia
Tidak dapat menderita, dapat pun menderita kerana bila sudah dapat susah pula menjaganya. Berhartalah, tidak mengapa tetapi kawal hati jangan diletakkan pada harta itu (bila mati cuma bawa amalan dan doa anak yang soleh atau solehah). Cinta dunia merupakan 'neraka dunia' kerana dunia itu 'panas' akibat ia merupakan barang buruan dan rebutan. Jadi letakkanlah akhirat itu di hati dan dunia itu di tangan supaya dunia itu senang dibahagi-bahagi dan akhirat dibawa mati.

Monday 5 September 2011

Program Otai-Otai SSP Beraya di Pontian 2011


Hari Raya Kedua


Program Otai-otai SSP Beraya di Pontian, berjaya dengan jayanya diadakan pada Hari Raya ke-2. Program ini bertujuan mengeratkan kembali silaturrahim di antara kami. Program julung kali ini walaupun tidak ramai yang menyertainya...tapi cukup meriah, terbayang pada wajah-wajah gembira sahabat-sahabat dan guru-guru....haaa lagu tema program kami ialah "Balik Kampung' nyanyian Allahyarham Sudirman Hj Arshad.




Program bermula seawal jam 10.30 pagi dengan sahabat-sahabat seperti Zulkhairi Hassan & family serta Jamalulail & family beraya ke rumah keluarga Chief de Mission Halida Zakaria a.k.a Did di Kampung Api-Api.

Kak Ungku & hubby join lewat di atas sebab2 yang tidak dapat dielakkan dan kami berdua terus ke rumah keluarga Jamalulail yang terletak tidak jauh dari rumah keluarga Did. Di sana sahabat-sahabat lain telah sedia berkumpul dan meraikan program ini...seperti Sh Hamidah, Dr Salleh & family, Kamarulzaman a.k.a Amai - datang solo aje nampaknya, Zulkhairi, Maznah & Family, Did, Hubby & family. Meriah dengan gurauan yang menggamatkan suasana. Maklumlah...sudah berpuluh tahun tidak beraya bersama sejak meninggalkan zaman persekolahan.

Program :
Mulai 10.00pagi
* Beraya rumah keluarga - Chief de Mission Halida Zakaria
* Beraya rumah keluarga Jamallullail Ibrahim
* Beraya rumah keluarga Zulkhairi Hasan
* Beraya rumah keluarga Kamarulzaman Alias
* Beraya rumah Siti Fadzilah Sheikh Bakir

Mulai selepas Zohor 3.30 petang
* Beraya rumah Cikgu Faredah Mashhor
* Beraya rumah Cikgu Timan Jawa (Cikgu Katiman Sikos)

Rumah terakhir dan penutup program kami ialah beraya rumah sahabat lama kami iaitu Noriah Rahmat & suami Faizal, di Rimba Terjun.


Foto Album Program Otai-Otai SSP Beraya, 2011
Klik, klik, klik!

Beraya di rumah keluarga Jamalulail di Api-Api

Beraya di rumah keluarga Zulkhairi di Parit Sapran



Beraya di rumah keluarga Kamarulzaman di Kayu Ara Pasong


Beraya di rumah Siti Fadzilah - Hawa




Beraya di rumah Cikgu Faredah Mashhor
Hidangan istimewa: Laksa Johor

dari kiri: Sh Hamidah, Maznah, Halida, Kak Ungku, Cikgu Faredah,
Kamarulzaman, Jamalulail & Zulkhairi


Ex-anak-anak murid dah sama besor dengan Cikgu...
Cikgu Faredah masih maintain awet muda!


Tiga orang sahabat...Bujang, Amai dan Lail....sama-sama besor dah sekarang...



Beraya di rumah Cikgu Katiman Sikos
Hidangan istimewa: Nasi Hadratulmaut & Sate




Sempat bergambar dgn pokok kaktus Cikgu Katiman
yang dicucuk dengan telur...susah nak nampak sekarang tau.....

Program Beraya kami berakhir di rumah Noriah, di Air Terjun. Sayangnya dalam sibuk bercerita, kami terlupa untuk mengambil gambar, rasa ralat betul.... InsyaAllah kita akan berjumpa lagi di lain kali. Seronok dapat beraya dengan sahabat-sahabat dan guru-guru kesayangan kami. Tahun depan kita organise lagi yer, insyaAllah. Jumpa lagi!

Related Posts with Thumbnails