Sunday, 26 September 2010

Ganjaran Bila Ikhlas Meraikan Tetamu

Oleh: Dr Hj Juanda bin Hj Jaya (Perunding Undang-undang Keluarga Islam)

Pernahkah anda berkunjung ke rumah salah seorang saudara pada Hari Raya, tetapi kedatangan anda tidak dilayan dengan baik? Memang pintu rumah terbuka untuk tetamu datang tetapi langsung tiada kemesraan walau semeja besar kuih-muih terhidang.

Apakah kita datang sekadar untuk makan, bukankah di rumah kita juga banyak makanan sedap? Kadang-kadang tetamu ditemani oleh televisyen sahaja, tuan rumah tak muncul-muncul hingga kita pulang dengan hati yang hampa.

Ataupun mereka duduk menemani kita tetapi duduk bagaikan patung yang tidak punya perasaan, tanpa bahasa dan kata-kata manis yang sedap didengar. Apakah begitu matlamat silaturahim pada bulan Syawal? Bukan pahala yang dapat disebabkan tidak ikhlas meraikan tetamu, akhirnya hanya penat yang dirasai.

Sebagai tuan rumah dan tetamu hendaklah kita belajar adab ketika menziarahi dan menziarahi saudara mara. Antara pahala silaturahim adalah:


1 Diluaskan rezeki dan diberikan keberkatan umur

Tuan rumah menanti seakan-akan menanti limpahan harta dari langit, membuka pintu untuk rezeki masuk ke dalam rumah, melayan dengan senang hati kerana percaya silaturahim akan membawa keberkatan seumur hidupnya. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Barang siapa yang mahu diluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya maka hendaklah dia menyambung silaturahim." (Muttafaqun Alaih)

Umur manusia memanglah tidak dapat diubah kerana ia telah tertulis di dalam suaratan takdirnya, adapun maksud hadis ini yang menyatakan umur akan dipanjangkan kerana silaturahim, adalah umur yang diberkati. Walaupun pendek umurnya dia merasai berkatnya masa dan waktu yang berjalan dalam kehidupannya.

Pepatah mengatakan, jauh perjalanan luas pandangan. Ramai kawan akan membawa rezeki dan hidua akan terasa nikmat dikecap. Berbanding dengan orang-orang yang anti sosial, yang hidupnya tak mahu berbahagi, tak sudi berkongsi, sentiasa bersangka buruk kepada orang lain, bersikap invidualistik dan ego.

Apa akan terjadi jika manusia tidak mahu berkasih sayang, menyambung silaturahim dan mengikat hati dengan kemesraan? Pastinya huru-haralah dunia, zalim-menzalimi hingga tidak mustahil berlaku pertumpahan darah. Rasulullah SAW bahkan mengancam sesiapa yang berhati keras, suka memerangi saudaranya dengan melakukan kezaliman melalui sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

" Ada dua jenis dosa yang seksaannya disegerakan di dunia, berbuat zalim dan memutuskan silaturahim." (Hadis Riwayat Imam Al-Bukhari)


2 Dikasihi Allah SWT

Jika dengan berbuat baik kepada manusia dunia akan aman dan damai, agama akan terpelihara, kehidupan seluruh penghuni bumi ini akan selamat, apakah tidak layak Allah memberi ganjaran kepada orang yang berkasih sayang itu? Tentu saja, amat besar pahalanya bagi mereka yang menjaga hubungan kasih sayang ini sebagaimana sabda baginda SAW yang bermaksud:

" Orang-orang yang suka berkasih sayang sesama mereka akan mendapat kasih sayang Allah. Berbelas kasihlah kamu dengan penduduk bumi nescaya Allah yang berada di langit mengasihimu." (Hadis Riwayat Al-Tirmizi disahihkan oleh Al-Albani)

Pada saat menjamu tetamu, ingatlah Allah akan menjamu kita disebabkan perbuatan baik yang kita lakukan. Bukankah mengkut sabda Rasulullah SAW riwayat Imam Al-Bukhari, Allah SWT memasukkan seorang lelaki ke dalam syurga disebabkan dia memberi minum seekor anjing yang kehausan?

Sesungguhnya Allah tidak akan mensia-siakan amalan kita yang memberi minum kepada tetamu. Jika kita bermesra dengan kata-kata yang lembut, ingatlah Allah akan berlemah-lembut kepada kita. Jika kita sudi berpenat lelah kerana mengharapkan keredhaan Allah maka sikap tetamu yang kekadang kurang beradab tidaklah menjejaskan niat ikhlas kita melapangkan hati untuk mereka.


3. Dikurniakan nikmat syurga

Hubungan baik dengan Allah berkait rapat dengan hubungan baik kita sesama manusia. Kadang-kadang ahli ibadah tidak mesra sesama mereka, cenderung mementingkan diri sendiri dan bersikap riak lagi sombong dengan amalannya. Rasulullah SAW pernah ditanya tentang keadaan seorang ahli ibadah tetapi tidak baik hubungannya dengan jirannya.

"Wahai Rasulullah, sesungguhnya ada seseorang yang ahli dalam melakukan solat malam, berpuasa dan bersedekah tetapi dia sering menyakiti jirannya dengan mulutnya. Rasulullah SAW bersabda: Dia tidak memiliki sebarang kebaikan, dia adalah penghuni neraka. para sahabat bertanya lagi: Seseorang yang sentiasa solat fardu, bersedekah dengan keju kering dan tidak pernah menyakiti sesiapapun. Rasulullah SAW bersabda: Dia adalah penghuni syurga." (Hadis Riwayat Imam Al-Bukhari)

Sikap menyakiti tetamu yang datang ke rumah kita dengan layanan yang kasar dan cenderung tidak mempedulikan kedatangan mereka boleh menjejaskan iman dan amal di hadapan Allah SWT, bahkan ia menjadi punca seseorang itu masuk neraka.

Oleh itu, bersilaturahim pada Hari Raya merupakan peluang keemasan bagi orang beriman untuk mereka mempertingkatkan pahala dan mendapat redha Allah SWT dan bukan menjadi punca dosa dan terputusnya kasih sayang Allah SWT.


0 Yorum var:

Related Posts with Thumbnails