SEWAKTU Nabi Daud memberikan pelajaran akhlak kepada muridnya, masuk seorang lelaki yang memakai jubah putih, menyebarkan aroma yang wangi.
Lelaki berjanggut itu datang sambil mengucapkan salam kepada Nabi Daud, tetapi beliau tidak menghiraukannya dan tidak juga menjawab salam orang itu.
Nabi Daud terus menyampaikan pelajaran kepada muridnya tanpa menoleh sedikit pun kepada orang itu. Lelaki itu segera menunaikan solat sebagaimana yang disyariatkan pada waktu itu. Dia melaksanakan sembahyangnya dalam waktu yang lama, dengan rukuk dan sujud yang panjang. Selesai sembahyang, orang itu berdoa dengan mengangkat kedua-dua tangannya dan dengan suara penuh harap sambil menangis.
Nabi Daud tetap meneruskan pengajarannya, tanpa memberi perhatian kepada lelaki itu untuk berkenalan. Dia juga tidak memberi kesempatan kepada muridnya untuk mengambil perhatian kepada orang itu.
Melihat keadaan demikian, muridnya kurang senang dengan sikap Nabi Daud. Mereka menganggap Nabi Daud tidak memberikan contoh baik dalam menghormati tamu.
Lelaki berdoa panjang dengan penuh tangisan selepas sembahyang. Dia kemudian keluar dari tempat peribadatan itu, selepas meminta diri dengan mengucapkan salam. Namun Nabi Daud tetap tidak menaruh hormat sedikit pun kepada orang itu.
Murid itu berkata : “Bukankah Nabi mengajarkan kepada kami bagaimana cara untuk menghormati tamu?”
“Betul,” jawab Nabi Daud.
Murid itu berkata: “Tetapi mengapa engkau sebagai seorang guru tidak memberikan perhatian atau menghormati tamu yang datang pada waktu engkau sedang memberikan pelajaran?” Nabi Daud menjawab: “Aku tidak memberikan sedikit pun perhatian kepadanya kerana tamu itu tidak mempunyai akhlak baik.
“Ingatkah bagaimana caranya untuk memasuki majlis ketika guru mengajar. Mula-mula dia perlu melangkah dengan kaki kanan terlebih dulu sebagai tanda menghormati tempat ibadah ini. Kemudian dia sepatutnya tidak mengucapkan salam terlebih dulu , melainkan langsung duduk ikut mendengarkan pelajaran.”
Salah seorang murid mencelah : “Mungkin tetamu itu belum mengetahui tata cara memasuki suatu majlis pengajian seperti ini.”
Nabi Daud menjawab : “Tetapi jubah dan serbannya menunjukkan seolah-olah dia itu orang alim. Apakah layak jika memang dia itu orang yang alim, tidak mengetahui sopan santun dan tata cara memasuki tempat peribadatan dan majlis ilmu?
“Orang seperti itulah yang akan menjatuhkan agama kita. Ini kerana penampilannya tidak sesuai dengan sikapnya dalam menjalankan agama.”
Muridnya berkata lagi: “Tetapi kita melihat bahawa orang yang berjubah itu tadi melaksanakan sembahyang dengan lama sekali, bagaimana dengan itu?” Nabi Daud menjawab: “Itulah tanda kepalsuannya. Dia hanya ingin menunjukkan kesolehan kepada kita semua, pada hal dia sebenarnya bukan orang soleh. Dia melakukan sembahyang buat kita, bukan bagi Tuhan.”
Seorang muridnya bertanya: “Tetamu tadi juga berdoa dengan panjang sambil menangis, bukankah itu menunjukkan kealimannya.”
Nabi Daud menjawab: “Apakah doa yang panjang itu menjamin keikhlasan hatinya?
“Bukankah Tuhan lebih menyukai doa yang khusyuk dan penuh keyakinan kepada-Nya. Kalau dia ingin menangis, tidak selayaknya di depan kita.
“Menangislah dengan penuh kesedihan di depan Allah ketika sendirian dalam sembahyang malam pada waktu semua makhluk sedang tidur dengan lelap hingga mereka tidak melihat tangisan itu kecuali Tuhan.”
Seorang murid bertanya: “Bukankah wajahnya begitu bersih laksana wajah orang yang sangat ikhlas. Pakaiannya bersih serba putih melambangkan keikhlasan hatinya. Bukankah dia itu orang yang bertakwa.”
Nabi Daud menjawab: “Takwa itu tidak dilihat daripada rupa dan wajah seseorang, juga tidak dilihat daripada pakaian seseorang.
“Tuhan hanya melihat hati manusia dan menilai dari amal perbuatannya.
“Adakah amal perbuatan dan sikapnya sehari-hari sesuai dengan hukum syariat dan akhlak. Manusia itu tidak dihargai daripada kulitnya, melainkan dinilai daripada isi dan mutu kemanusiaannya yang diukur dengan pelaksanaannya terhadap hukum dan akhlak agama.”
Wallahua'lam
0 Yorum var:
Sen de yaz