Oleh Mohd Yaakub Mohd Yunus
Umat perlu bertekad jauhi perkara cemar akidah agar Islam subur sebagai cara hidup
KALENDAR Islam diperkenalkan pada zaman pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab. Beliau dan sahabat memutuskan untuk meletakkan tarikh permulaan kalendar Islam pada tahun Nabi Muhammad SAW dan sahabat berpindah dari Makkah ke Madinah. Ia dipilih kerana menjadi titik mula kejayaan dakwah Islam sehingga tersebar ke seluruh dunia itu diingati serta dirai umat Islam setiap tiba 1 Muharam.
Namun, ada yang melihatnya sebagai sambutan tahun baru umat Islam. Oleh itu, ramai gagal menghayati semangat hijrah yang pada hakikatnya memberi kesan besar terhadap umat Islam. Hijrah tidak tamat selepas berpindah Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Madinah seperti ditegaskan oleh sabda Rasulullah SAW bermaksud:
“Hijrah tidak akan terputus sampai taubat terputus dan taubat tidak akan terputus sehingga matahari terbit dari barat.” (Hadis riwayat Abu Dawud)
Hijrah mempunyai banyak maksud antaranya berpindah dari negeri syirik ke negeri Islam seperti dilakukan Nabi Muhammad SAW dan sahabat. Oleh itu, umat Islam yang bermastautin di negara orang kafir dan tidak berupaya mengamalkan agamanya malah ditindas, wajib berpindah ke negara Islam jika memiliki kemampuan.
Dalil mewajibkan hijrah sebegini adalah firman Allah bermaksud:
“Sesungguhnya orang yang diambil nyawanya oleh malaikat ketika mereka menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas kaum kafir musyrik), mereka ditanya malaikat: Apakah yang kamu lakukan mengenai agama kamu? Mereka menjawab: Kami dulu ialah orang yang tertindas di bumi. Malaikat bertanya lagi: Tidakkah bumi Allah itu luas yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya? Maka orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam dan neraka jahanam itu seburuk-buruk tempat kembali.” (Surah al-Nisaa’, ayat 97)
Tetapi hijrah seperti tidak diwajibkan bagi mereka yang tidak memiliki kekuatan fizikal mahupun ekonomi. Firman Allah bermaksud:
“Kecuali orang yang lemah (lagi uzur) daripada lelaki dan perempuan serta kanak-kanak, yang tidak berdaya mencari helah (untuk melepaskan diri) dan tidak pula mengetahui sesuatu jalan (untuk berhijrah). Maka mereka, mudah-mudahan Allah maafkan mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.” (Surah al-Nisaa’, ayat 98-99)
Hijrah juga bermaksud meninggalkan apa yang dilarang Allah menuju kepada perintah-Nya. Sabda Nabi SAW bermaksud:
“Muslim ialah seseorang yang kaum Muslimin selamat daripada gangguan lisan dan tangannya dan seorang muhajir (orang berhijrah) ialah orang yang meninggalkan apa yang dilarang Allah.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)
Hijrah dalam pengertian ini menuntut kita mengikhlaskan segala amal ibadat hanya kepada Allah dan membela kalimah tauhid. Hendaklah meninggalkan amalan syirik dan menyemai benih tauhid kepada seluruh umat Islam.
Kita mesti mempertingkat usaha membersihkan umat Islam daripada perkara mencemari akidah. Segala khurafat, tahyul dan syirik harus dibanteras sehingga ke akar umbi.
Bagi yang menerima dan memelihara kalimah tauhid, Allah akan memberikan keselamatan dan bagi mereka yang menentangnya, Allah akan memberi balasan yang pedih.
Setiap kali muncul Maal Hijrah, marilah kita berusaha menerapkan konsep hijrah yang sebenar supaya ia memberi manfaat besar dalam hidup setiap umat Islam. Muncul tarikh 1 Muharam menunjukkan berpisah kita dengan tahun lalu. Seharusnya kita bermuhasabah.
Jika ada kekurangan maka segeralah perbaikinya. Jika ada dosa hendaklah segera bertaubat. Jika kita sudah mengerjakan amalan soleh, maka berazam meneruskannya bahkan mempertingkatkan amalan pada tahun baru ini.
0 Yorum var:
Sen de yaz