Thursday, 5 August 2010

Puasa Tetapi Tidak Solat?

SOLAT adalah ibadat yang wajib dilakukan sama ada dalam keadaan sihat atau sakit.

Lirik lagu nasyid berjudul ‘Harapan Ramadan’ dendangan Kumpulan Raihan jelas menggambarkan bulan Ramadan merupakan bulan yang dinanti-nantikan oleh semua umat Islam yang beriman.

Ini kerana padanya terdapat limpahan kerahmatan, keampunan dan ganjaran Allah yang diberikan khusus kepada hamba-Nya yang berpuasa.

Sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW bermaksud:

“Bulan Ramadan, bulan rahmat telah datang kepada kamu. Di mana Allah SWT telah berpaling kepadamu dan menurunkan ke atasmu rahmat yang istimewa, mengampunkan akan kesalahan-kesalahan, memperkenankan akan doa-doa, melihat di atas perlumbaan-perlumbaanmu bagi mendapatkan kebaikan yang besar dan berbangga-bangga kepada malaikat-malaikat mengenaimu. Maka tunjukkanlah akan kebaikan-kebaikan daripada kamu. Kerana sesungguhnya orang yang paling ‘dikasihani’ dan paling malang ialah seseorang yang terluput daripada rahmat Allah dalam bulan ini”. (riwayat at-Tabrani)

Bulan yang istimewa dan penghulu segala bulan ini hanya datang sekali dalam setahun. Setiap kali kemunculannya ia disambut dengan penuh kegembiraan oleh umat Islam seluruhnya.

Malah, setiap umat Islam yang beriman, menantinya dengan penuh debaran dan harapan. Peluang untuk beribadah dengan ganjaran pahala yang berlipat ganda pada bulan ini. Mereka tidak lepaskan dengan begitu saja. Mereka bagaikan ingin terus mendampingi Ramadan buat selama-lamanya.

Mungkin agak pelik jika ada antara kita di kalangan umat Islam yang sanggup menahan lapar dan dahaga di bulan penuh keberkatan ini semata-mata memenuhi tuntutan Allah kepada hamba-Nya yang beriman, tetapi tidak mendirikan solat.

Pengendali laman soal-jawab agama, www.ilmudanulamak.blogspot berkelulusan Universiti Al-Azhar, Ahmad Adnan Fadzil berkata, para ulama berbeza pandangan tentang hukum meninggalkan solat kerana malas atau segan (iaitu masih mengakui kewajipan solat, cuma ia malas melakukannya).

Imam Ahmad berpandangan ia adalah kafir manakala Jumhur ulama pula bersependapat ia adalah fasiq iaitu melakukan dosa amat besar.

Jika berpegang kepada pandangan Imam Ahmad tersebut, maka sebahagian ulama hari ini (terutamanya dari Arab Saudi seperti Sheikh Bin Baz, Ibnu Usaimin dan sebagainya) berpendapat, orang yang tidak menunaikan solat fardu, tidak sah puasanya, malah juga ibadah-ibadahnya yang lain (zakat, haji, sedekah dan amal-amal soleh selainnya) sehinggalah ia bertaubat kepada Allah dan kembali mengerjakan solat.

Adapun berdasarkan pandangan jumhur ulama (yang tidak menghukum kafir orang yang meninggalkan solat itu), puasa orang itu sah jika ia memenuhi rukun-rukun puasa yang ditetapkan dan tidak melakukan sebarang perkara yang membatalkan puasa. Maksud sah di sini ialah dia tidak dituntut lagi menggantikan puasanya.

Namun perlu dipersoalkan adakah puasanya itu diterima oleh Allah sedangkan ia telah mengabaikan ibadah yang cukup besar dalam Islam iaitu solat?

Tidak semua ibadah yang sah diterima oleh Allah. Contohnya, seseorang yang mengerjakan solat dengan riak, solatnya sah (dari sudut fiqh) apabila cukup syarat-syarat dan rukun-rukunnya, namun solatnya ditolak oleh Allah kerana riak tersebut.

Sheikh ‘Atiyah Saqar menulis dalam fatwanya; “Sesiapa berpuasa tanpa mengerjakan solat, puasanya adalah sah dan tidak wajib ia mengulanginya. Akan tetapi dari segi penerimaan (Allah) terhadapnya, maka hadis Nabi SAW menunjukkan ia tidak diterima”.

Hadis yang dimaksudkan ialah yang bermaksud:

Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan melakukan pendustaan, maka bagi Allah tidak ada keperluan dalam ia meninggalkan makan dan minumnya (iaitu Allah tidak berhajat kepada puasanya). (riwayat Imam Bukhari, Abu Daud dan at-Tirmizi).

Puasa ditolak

Daripada mafhum hadis di atas, jika dengan kerana akhlak mazmumah (kata-kata dusta dan sebagainya) telah pun menyebabkan puasa ditolak oleh Allah, maka lebih-lebih lagilah dengan meninggalkan solat fardu yang dosanya amatlah besar, berkali-kali ganda lebih besar dari dosa kerana akhlak mazmumah itu.

Namun, itulah yang berlaku dalam realiti masyarakat Islam kini apabila mereka tidak mengendahkan tuntutan utama agama Islam selepas mengucap dua kalimah syahadah yang mengakui tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah.

Bertepatan dengan firman Allah SWT bermaksud:

Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk. (al-Baqarah: 45)

Imam Besar Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, Md. Ali Sarbini memberitahu, menjadi satu perkara aneh jika sekiranya seseorang itu sanggup bertahan untuk berpuasa tetapi mengabaikan solat.

Menurutnya, keadaan sebegitu adalah satu perkara yang tidak tepat atau selari dengan kehendak agama yang berlandaskan kepada rukunnya yang lima sebagai pegangan setiap penganutnya.

Jelas Md. Ali, rukun Islam itu berkaitan antara satu sama lain serta saling sempurna dan menyempurnakan. Jika salah satu daripada rukun itu tidak dilaksana, maka pincanglah agama.

Sebagaimana sabda nabi SAW bermaksud,

“Sesungguhnya yang paling mula-mula dihisab pada seorang hamba di hari Kiamat daripada amalannya ialah solat . Sekiranya solatnya baik, maka dia akan berjaya dan selamat. Sekiranya solatnya rosak, maka dia akan kecewa dan rugi”. (riwayat At Tirmizi, An Nasaei dan Ibnu Majah ).

Kata Md. Ali, orang yang bersyahadah mesti dibuktikan dengan mengerjakan sembahyang, orang yang sanggup bersembahyang mesti dibuktikan dengan berpuasa, orang yang sanggup bersyahadah, bersembahyang dan berpuasa mesti sanggup mengeluarkan wangnya untuk diberikan kepada orang lain.

“Begitu juga orang yang sanggup mengeluarkan wang untuk membayar zakat, sanggup pula mengeluarkan wang untuk menunaikan haji…jadi rukun yang lima ini saling berkait.

“Oleh itu, menjadi satu perkara aneh sekiranya berlaku orang berpuasa tetapi tidak sembahyang seolah-olah tidak bertolak dari bawah. Ini yang banyak berlaku dalam masyarakat,” katanya kepada MEGA, baru-baru ini.

Bagaimanapun, menurut Md. Ali, ibadat puasa yang dilaksanakan oleh orang seperti ini tetap sah di sisi Islam walaupun ia tidak mendirikan solat kerana Islam merupakan agama praktikal.

“Tetapi dia berdosa kerana meninggalkan sembahyang. Akan tetapi puasa itu tidak menjadi sempurna sebagai matlamat untuk membentuk masyarakat yang baik. Jadi sebaik-baiknya teruskan puasa dan laksanakan sembahyang untuk mengimbangi tuntutan agama.

“Jangan jadikan alasan berpuasa sebagai salah satu sebab untuk meninggalkan sembahyang seperti sesetengah orang berpuasa yang hanya tidur sepanjang hari bermula sahur sehingga berbuka bagi mengelakkan rasa lapar,” katanya.

Bagaimanapun, Md. Ali menjelaskan, walaupun terdapat umat Islam yang berpuasa tetapi tidak bersembahyang, ia tidak boleh dikatakan sebagai satu adat atau trend yang berlaku dalam masyarakat kini.

Ini kerana katanya, ibadat puasa dilaksanakan dengan baik sekali gus membuktikan keimanan dan ketaatan terhadap suruhan Allah.

“Orang yang berpuasa walaupun tidak sembahyang masih mempunyai nilai-nilai keimanan dalam dirinya kerana mereka masih sanggup meninggalkan makan dan minum sepanjang hari.

“Hanya orang yang betul-betul beriman sahaja sanggup melakukan tuntutan Allah ini, mereka tetap mendapat ganjaran pahala daripada yang Maha Esa di atas ketaatan berpuasa tetapi dosanya meninggalkan sembahyang tetap dikira oleh Allah,” jelasnya.

Bagaimanapun, Md. Ali turut menjelaskan, terdapat juga umat Islam yang berpuasa amat rajin melakukan ibadat di bulan rahmat ini tetapi tidak diteruskan amalan-amalan baik itu pada bulan-bulan lain.

Katanya, amalan terbaik di bulan puasa adalah berpuasa itu sendiri sebagai satu petanda menambahkan dan menggambarkan keimanan kepada Allah.

“Kita sanggup mendengar perintah Allah melalui al-Quran pada bulan mulai ini untuk meninggalkan perkara-perkara yang harus dilakukan di luar bulan puasa untuk beriman kepada Allah.

Bulan puasa

“Jadi malang bagi sesiapa yang boleh bertahan berpuasa serta beribadah dengan melakukan amalan berlipat kali ganda, namun di luar bulan puasa mereka kembali kepada tabiat lama mereka dengan meninggalkan segala suruhan dan menolak perintah Allah,” tambah beliau.

Mengulas lanjut, Md. Ali berkata, bulan Ramadan seharusnya menjadi pendorong kepada umat Islam untuk mengekalkan sikap yang baik dan amalan mulia yang dilaksanakan sepanjang masa, tidak mengambil kira kebaikan ganjaran yang diterima hanya berdasarkan kemuliaan bulan tersebut.

Amat janggal sekiranya kita tidak meneruskan amalan seperti berpuasa sunat dan apa yang menyedihkan lagi al-Quran ditinggalkan langsung sehingga Ramadan datang lagi. Sudah tentu ia tidak dikehendaki oleh Islam.

Sekiranya tidak berlaku penerusan amalan di bulan lain, Md. Ali berpendapat, besar kemungkinan amalan yang dilaksanakan di bulan puasa tidak memberi kesan kepada kehidupan mereka itu.

“Seumpama pelajar universiti yang tamat belajar tetapi melakukan jenayah seperti mencuri, ini menunjukkan pendidikan di universiti itu tidak memberi kesan kepada dirinya,” jelas beliau.

Hakikatnya bulan Ramadan adalah bulan yang sepatutnya menjadikan umat Islam agar lebih produktif, proaktif, aktif dan bertenaga berusaha menjanakan kekuatan untuk memperbanyakkan ibadah dan mentaqarrubkan (mendekatkan) diri kepada Allah.

Hikmah puasa disyariatkan pula adalah untuk meningkatkan pengabdian dan perdampingan diri kepada Allah.

Sebarang ibadat yang dilakukan oleh seseorang tetap akan menyebabkan dirinya lebih hampir kepada Allah.

Kasih sayang Allah terhadap hamba-Nya dan hamba pula menghampirkan diri kepada-Nya akan menjauhkan mereka daripada maksiat, mendekatkan diri kepada mentaati-Nya, dan segera membuat amal kebajikan.

Oleh itu, mereka sentiasa dalam keadaan yang betul dan kehidupan yang sempurna.

Semoga puasa yang kita lakukan diterima sama ada puasa perut daripada makanan, faraj daripada mengikut syahwat, mata daripada memandang yang haram, telinga daripada mendengar yang haram, tangan daripada mengambil yang haram, kaki daripada pergi ke tempat yang dimurkai Allah, lidah daripada segala kata nista dan cela dan seterusnya hati daripada nifak dan segala sifat mazmumah (yang tercela).

Insya-Allah takwa daripada ibadat puasa akan bersama dengan kita.

0 Yorum var:

Related Posts with Thumbnails