Saturday, 5 June 2010

Perkahwinan Tanpa Restu Ibubapa.......

Perkahwinan tanpa persetujuan orang tua mudah runtuh jika berdepan pelbagai masalah

BERKAHWIN tanpa restu ibu bapa boleh diumpamakan bermusuh dengan kedua-duanya dan dianggap sebagai anak derhaka. Perkahwinan tanpa keredaan ibu bapa juga bererti tidak mendapat reda daripada Allah SWT dan lebih membimbangkan, mahligai yang dibina itu tidak diberkati.

Pensyarah di Fakulti Bahasa al-Quran, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Mohd Zawawi Yusoh, berkata perkahwinan yang tidak mendapat restu ibu bapa lazimnya mengundang pelbagai masalah dalam rumah tangga pada kemudian hari.

“Perkahwinan yang dibina dengan restu ibu bapa bermakna mendapat keredaan Allah. Rumah tangga yang diberkati, dilimpahi dengan kasih sayang, pasangan setia dan tidak curang serta anak yang soleh. Ramai yang tidak perasan hikmah keredaan daripada ibu bapa ini dan doa mereka biasanya makbul,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Katanya, perbuatan menderhaka pada ibu bapa juga adalah penyakit berjangkit yang boleh merebak kepada anak. Mereka yang menderhaka kepada ibu bapa berkemungkinan akan mengalami nasib serupa apabila anak mereka sendiri menderhaka kelak.

“Perkahwinan sepatutnya dibina dengan tujuan untuk menyambung silaturrahim iaitu merapatkan lagi hubungan antara ibu bapa dan keluarga sebelah suami atau isteri. Ia tidak sepatutnya menjadi punca yang memutuskan hubungan antara anak dan ibu bapa.

“Hubungan antara mak dan ayah adalah intim dan tidak boleh diputuskan dengan apa cara sekalipun, tetapi hubungan dengan suami boleh terputus apabila berlaku perceraian. Jadi, mengapa sanggup meminggirkan ibu apa yang sudah 20 hingga 30 tahun membesarkan kita dengan memilih pasangan yang baru kita kenal dua atau tiga tahun?” katanya.

Beliau berkata, cinta berkat adalah cinta yang berdasarkan iman kepada Allah. Cinta kepada Allah perlu didahulukan berbanding cinta kerana nafsu semata-mata.



Sehubungan itu, dalam hubungan ini Ibu bapa perlu diutamakan dalam memilih pasangan dan mendirikan rumah tangga.

“Dalam Islam, nabi menyebut empat perkara harus ditekankan dalam memilih jodoh iaitu cantik, keturunan baik, hartanya dan yang paling diutamakan adalah agamanya. Hari ini, kebanyakan orang tinggalkan agama dalam memilih pasangan.

“Kalau cantik saja, tetapi tidak ada agama, dia nampak hodoh. Begitu juga jika berharta, kita pula miskin, cara hidupnya pasti berbeza yang mungkin menyebabkan kita terus papa,” katanya.

Beliau menasihatkan mereka yang terlanjur derhaka perlu segera memohon maaf daripada ibu bapa masing-masing sementara keduanya masih hidup. Ikhtiar harus dilakukan bagi mendapat restu ibu bapa agar hidup mereka terus diberkati.

“Bagi yang bercadang untuk berkahwin, tetapi tidak mendapat restu ibu bapa, sebaiknya utamakan ibu bapa dan bersabar. Jangan putus asa untuk terus berdoa sehingga suatu ketika mereka dapat menerima jodoh anda,” katanya.

Ketua Kaunselor Pusat Kaunseling Rumah Tangga Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, Norazman Amat, berkata pasangan yang berkahwin tanpa restu ibu bapa lebih cenderung mengalami banyak cabaran dalam melayari kehidupan berumah tangga terutama dari segi perhubungan suami isteri.

“Biasanya kesan ini dapat dirasakan apabila banyak cabaran terpaksa dilalui selepas berkahwin. Perkahwinan tanpa restu menyebabkan hubungan dengan orang tua juga terputus.

“Apabila menghadapi masalah rumah tangga, biasanya ibu bapa menjadi tempat mengadu, tetapi oleh kerana hubungan sudah terputus, mereka biasanya terkapai-kapai dalam mengharungi cabaran hidup sebagai suami isteri. Ini mendorong kepada berlakunya perceraian dan rumah tangga yang kucar kacir,” katanya.

Berdasarkan pengalamannya mengendali sesi kaunseling rumah tangga, Norazman tidak menafikan ada banyak masalah rumah tangga berpunca daripada perkahwinan yang tidak direstui ibu bapa.

Hubungan yang dibina atas dorongan nafsu menyebabkan pasangan sentiasa dihantui memori lama, menjadikan mereka mudah tertekan terutama apabila mengalami sebarang krisis rumah tangga.

“Bagi membina semula hubungan yang terputus itu mungkin memakan masa lama. Ibu bapa mungkin sukar menerima apa yang dilakukan anak mereka. Ini juga memberikan tekanan kepada pasangan kerana ibu bapa tidak dapat menerima mereka sebagai sebahagian daripada keluarga,” katanya.

Beliau berkata, usaha untuk mendapat semula restu ibu bapa memerlukan kerjasama kedua suami isteri. Bagaimanapun, tidak semua suami atau isteri, mahu bersama pasangan memohon restu kerana ego masing-masing menimbulkan kesukaran mendapat restu ibu bapa.

“Ada suami atau isteri yang tidak mahu ikut pasangan berjumpa mentua. Lebih menyukarkan apabila suami tidak mahu menurunkan ego memohon maaf daripada mentua. Apabila ini berlaku, hubungan baik tidak dapat dibina semula.

“Sesetengah suami menganggap mendapat kemaafan daripada ibu bapa atau ibu bapa mentua tidak penting. Di sini, sudah timbul krisis antara suami isteri yang boleh menjejaskan perhubungan mereka,” katanya.

(Sumber diperolehi daripada Berita Harian Online - bertarikh 23 Mei 2007)

0 Yorum var:

Related Posts with Thumbnails