Aznil - Shahir Hambar, Maulana Memukau
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...
Sesungguhnya, keputusan Ema yang menjadi pelajar ke-2 tersingkir sedikit pun tidak memeranjatkan Pak Nil. Bagi Pak Nil, persembahan Ema pada minggu ke-2 adalah antara yang kurang menyerlah.
Pak Nil melihat persembahan Ema menerusi lagu asal nyanyian Stacy iaitu Pakai Buang ibarat satu musibah buat dirinya. Nasib Ema tidak sebaik adiknya, Adira yang mendapat lagu yang mencabar vokal. Ema hanya dapat lagu yang power semasa konsert tirai saja.
Itulah yang menyebabkan Ema terpaksa menerima hukuman disingkirkan. Jikalau diberi peluang, Pak Nil percaya Ema boleh buat dengan baik.
Berbanding Ema, Pak Nil merasakan Daus yang menyanyikan lagu Menatap Matamu perlu lebih berhati-hati pada konsert mendatang. Pak Nil takut Daus akan menjadi mangsa. Sekarang ini, Pak Nil lihat penonton sudah memberi peluang kepada Daus. Sekiranya Daus tak pandai menggunakan peluang ini besar kemungkinan Daus boleh menjadi mangsa seperti Ema.
Bagaimanapun, aksi Daus pada minggu ini lebih bagus berbanding nyanyiannya pada lagu Bye Bye Bye dan Cari Jodoh. Pak Nil suka sangat cara Daus ubah stail pembawakan lagu ini. Tetapi dia masih lagi membawa dirinya sebagai pelajar sehinggakan aura lagu tersebut menjadi kecil.
Sepatutnya Daus meletakkan dirinya sebagai bintang di pentas. Insya-Allah, dia boleh membawa impak besar pada persembahan itu.
Dari ekspresi raut wajah Nad membawa lagu dari Kris Dayanti, ia cukup nampak kesungguhan. Dia banyak memasukkan emosi dan setiap bait lirik yang ada pada lagu ini sudah cukup membantu Nad untuk menampilkan pelbagai riak wajah.
Kalau diikutkan, pelbagai mesej boleh diperoleh seperti sedih, hampa, kecewa, gusar, gundah gulana dan risau pada wajah Nad sekiranya Nad dapat menyelami emosi lagu ini. Pun begitu, Pak Nil hanya nampak satu wajah saja dengan satu mesej saja iaitu terseksa. Pak Nil cuma rasa terseksa sepanjang mendengar nyanyian Nad ditambah dengan kerutan dahi.
Walaupun persembahan Alif dimulakan dengan duduk, kelantangan yang ada padanya berlainan daripada pelajar lain. Alif berjaya mengawal energi pentas. Apa yang boleh Pak Nil cakap, tak kisahlah Alif nyanyi sedap atau tidak, orang sudah tak ambil peduli. Penonton hanya mahu melihat Alif. Namun, Alif sepatutnya membawa masuk VT ayahnya dalam persembahan Alif.
Mungkin perasaan sedih itu terpotong kerana ada adegan melucukan selepas itu. Oleh itu, dia terpaksa bermula semula.
Farina oh Farina. Entalah..Terus-terang, Pak Nil tak nampak percikan bintang pada persembahan Farina. Persembahan yang terlalu biasa dan memudaratkan dirinya. Sebenarnya, Pak Nil geli bila dengan anak Melayu yang nyanyi lagu Melayu dengan sebutan ala-ala orang putih.
Sudahlah persembahan Farina biasa saja...ditambah pula dengan sebutan pelat Mat Salleh.
Pak Nil tengok..Iwan selalu memulakan persembahan dengan baik sekali. Namun, Iwan mempunyai masalah yang tidak konsisten. Awal-awal ok dan bila nak sampai penghujung Iwan hilang arah. Untuk menyanyikan lagu sebegini, Pak Nil tak hiraukan pasal kemerduan. Kalau nak dengar merdu baik dengan pelajar nyanyi lagu berentak ballad.
Untuk Anum pula, Pak Nil tak nak salahkan Anum. Dia masih muda dan agar sukar nak feel lagu ini. Pak Nil merasakan Anum ibarat menipu penonton dan persembahannya nampak dibuat-buat. Anum nampak tidak selesa dan macam pinjam perasaan orang lain. Inilah perlunya kelas Cikgu Que. Anum kena belajar rasa. Untuk suara Pak Nil tak tahu sebab Pak Nil tak jaga suara.
Ain ni lagi satu. Entahlah...apa nak jadi padanya. Ain dah mula dilupakan dan sekiranya Ain berterusan dengan komitmen ini mungkin dia yang seterusnya tersingkir. Pak Nil dapat rasa Ain masa konsert tirai sudah lenyap. Lagu yang comel diberikan padanya dibuat sebagai lagu yang nak menunjuk-nunjuk kemantapan vokalnya. Kalau Ain nak nyanyi dengan vokal ini sepatutnya dia nyanyi lagu Let's Get Loud dari Jennifer Lopez.
Malam itu milik Maulana dengan persembahan hebat. Bagi Pak Nil, Maulana sangat menjiwai lagu itu dan Pak Nil seperti terlupa Maulana adalah pelajar AF8. Maulana pandai berkaraktor dengan susunan muzik yang baru. Alahai Shahir...Pak Nil tak tahulah interpertasi yang dibawakan Shahir dalam lagu Jangan Nakal dari Alif Satar. Shahir terlalu malas serba-serbi baik nyanyian dan pergerakan. Di sebabkan Shahir nyanyi macam itu, persembahannya hambar.
Seperti Maulana, suara Adira amat memukau pada malam itu. Sungguhpun ada yang bertanya kenapa pakaian Adira sebegitu dengan lagu ketuhanan sebegini...bagi Pak Nil, ini terpulang pada tafsiran masing-masing. Mungkin pada malam itu persembahan Adira lebih menjurus kepada cinta pada kekasih.
Pergerakan Adira pula seperti tidak kena gaya dan tempat. Adira sepatutnya pandai menggunakan ruang pentas. Adira seperti janggal. Sememangnya Adira boleh kawal penonton dengan suara yang mantap.
Secara kesimpulan, pelajar lelaki terbaik pada malam itu ialah Maulana. Manakala, perempuan pula sudah semestinya Adira. Untuk yang kurang baik, sudah tentu Farina dan Shahir.
Artikel dari: http://www.murai.com.my