PASANGAN adalah ‘sahabat’ kita yang paling rapat dan setia. Tak kira waktu suka, duka, pasangan kita pasti akan sentiasa berada di sisi. Tapi seringkali kita menganggap pasangan sebagai orang terakhir yang perlu dijaga hatinya kerana mereka pasti akan menerima kita seadanya.
Ada yang mengambil mudah dari segi percakapan dan tidak menghormati pasangan sebagai mana mereka menghormati orang lain. Dari segi penampilan pula, ramai yang mengambil kesempatan dengan tidak menjaga diri atau paras rupa kerana mereka tahu hakikatnya mereka sudah mempunyai pasangan yang akan menerima mereka walau apa pun yang terjadi.
Kalau ada yang beranggapan begitu pastikan anda ubah tanggapan tersebut kerana pasangan kitalah orang yang paling perlu dijaga dan hormati. Kita juga perlu tampil menarik untuk pasangan dan bukan untuk orang lain.
Penulis berminat untuk berkongsi satu ungkapan daripada tokoh motivasi tersohor negara, Dato’ Dr Hj Mohd Fadzilah Kamsah, ujarnya; “Jika mahu diri disayangi, beri kasih sayang kepada orang dahulu”. Maksud lain ialah, jika kita mahu dihargai pasangan, maka kita harus memberikan yang terbaik kepada mereka barulah kita akan mendapat kebaikan yang sama juga.
Sesuai dengan topik kita cantik luaran dan dalaman, antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah berhemah apabila berbicara, tampil dengan rupa yang menarik dan bersih serta menjaga hati pasangan dengan baik.
Bagi yang mahu berubah namun tidak tahu caranya, panduan di bawah mungkin boleh membantu.
Pertama: Paling penting dalam perhubungan ialah komunikasi yang baik.
Seringkali kita mengabaikan komunikasi yang baik dengan pasangan. Kata ganti nama diri seperti aku dan kau digunakan dalam perbualan harian, padahal lebih molek jika panggilan seperti ‘sayang’ atau ‘abang’ digunakan kerana itu boleh memupuk kemesraan.
Seperti persahabatan, pasangan yang baik perlu komunikasi yang jujur. Perlu bersedia untuk memberi pandangan, nasihat menasihati bila keadaan memerlukan. Jika salah seorang ingin meluahkan masalah, seorang lain perlu mendengar dengan baik.
Jangan pula cuba masuk campur dalam urusan pekerjaan dan keluarga jika tidak diminta. Jika ada yang berkecil hati, pastikan disuarakan dengan baik untuk mengelakkan salah faham yang lebih buruk.
Kedua: Anda dikehendaki menjadi pendengar yang setia.
Bila pasangan anda dilanda masalah sebagai contoh di tempat kerja, bersedialah untuk menjadi pendengar dan jangan sesekali mengadili pasangan anda itu walaupun sebenarnya anda tahu bahawa dia yang punca masalah itu. Apa yang perlu ialah dengar dan beri nasihat secara umum sahaja.
Ketiga: Memastikan bahawa anda tidak bertepuk sebelah tangan.
Maknanya bukan anda sahaja yang menganggap pasangan anda itu perlu dihormati, malah dia juga perlu menghormati anda. Jika ada sahabat lain yang mengutuk pasangan anda di belakangnya, andalah orangnya yang penuh yakin untuk menjadi pembela pasangan anda itu.
Tetapi jika memang pasangan anda melakukan kesalahan, terus-teranglah bahawa anda tidak selesa dia melakukan begitu, pilih perkataan yang sesuai untuk menegur dan tegurlah dengan berhati-hati agar tidak mengecilkan hatinya.
Seringkali kita mendengar rakan kita mengomel tentang bentuk tubuhnya yang semakin berisi dari hari ke hari. Perkara yang amat lazim terjadi kepada wanita itu seperti lumrah terutama selepas melahirkan anak.
Memang ia amat merisaukan namun apa yang penting selain kerisauan itu ialah tindakan segera yang perlu diambil bagi menangani masalah tersebut.
Keempat: Laburlah sedikit wang untuk penampilan anda.
Tidak kira sama ada untuk menguruskan badan, mencantikkan kulit, berbaju baru dan sebagainya semuanya ada harga yang perlu dibayar. Namun percayalah ia adalah satu pelaburan yang baik demi perhubungan anda. Tapi tidak kira sama ada anda lelaki atau perempuan perlulah sama-sama mengambil berat tentang penampilan anda.
Kebersihan harus dijaga dan perlu amalkan disiplin diri. Pilihlah pakaian yang kemas dan pastikan anda melakukannya ikhlas untuk pasangan anda. Jangan bila hendak ke kenduri atau berhari raya baru hendak bergaya. Sepatutnya bergayalah di rumah kerana ada mata dan perasaan yang lebih penting untuk dijaga.