Oleh Khairunneezam Mohd Noor
Setiap kejadian menimpa manusia
pasti ada sebab serta mempunyai hikmah.
 KITA selalu mendengar keluh kesah sesetengah orang yang bertanyakan  kenapa agaknya suratan kehidupan mereka begitu susah untuk memperoleh  kesenangan dan begitu senang pula mendakap kesusahan.
 Mereka iri hati dengan keadaan orang lain yang ditakdirkan senang  memperoleh kesenangan secara berterusan. Ada manusia yang hidup senang  dan kaya raya, ada hidup susah dan melarat, ada dulunya senang tetapi  kemudian hidup melarat.
Hakikatnya, inilah asam garam dan pancaroba kehidupan yang harus  diterima dengan hati terbuka. Sebagai khalifah di muka bumi, perlulah  kita membuat analisis dan muhasabah. Berfikir secara waras bahawa  ketentuan Allah SWT mempunyai seribu satu sebab yang terkandung hikmah  dan pengajaran.
 Cuba nilai mengapa sesetengah manusia diberikan ujian terlalu hebat  oleh Allah SWT? Mengapa sesetengah yang lain diberi rahmat dan rezeki  yang tidak putus-putus?
 Setiap sesuatu dijadikan atau ditakdirkan-Nya itu pasti ada sebab dan  mempunyai hikmah. Manusia hanya perlu bersyukur jika diberikan rahmat  dan rezeki yang melimpah ruah.
 Firman Allah SWT yang bermaksud:
 “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang  dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu  persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”  (Surah an-Nahl, ayat 18)
 Begitu juga sebaliknya, manusia perlu terus-menerus bersabar andai  diuji dengan dugaan demi dugaan. Setiap sesuatu ketentuan perlu dihadapi  dengan waras, bijak, tenang, serta berserah tanpa kompromi atau  bersyarat kepada Allah SWT.
 Tidak perlulah melihat dalam perspektif yang luas, lihat saja diri  kita sendiri. Dalam banyak waktu, kita iri hati melihat sahabat yang  nampak bahagia sepanjang masa dibanding kita tidak senang atau bahagia  seperti mereka.
 Ini memang amalan manusia, suka membanding-bandingkan diri dengan  orang lain. Cuba lihat rakan lain yang selalu dirundung kesukaran,  kesakitan, kepayahan dan duka? Bandingkan nasib mereka dengan kita.
 Hanya dengan cara ini kita akan mengucap syukur Alhamdulillah.  Sekurang-kurangnya kita menyedari ketentuan nasib yang lebih baik dan  senang berbanding mereka. Hakikatnya, manusia sukar untuk merasa puas.
 Oleh itu, sehebat mana ujian yang dihadapi hendaklah reda, bersyukur  dan bertawakal kepada-Nya. Giatkan usaha dan berdoa supaya Allah  memberikan petunjuk dan mengurniakan keadaan lebih baik daripada sebelum  ini.
 Allah SWT berfirman yang bermaksud:
 “Dan sesungguhnya kami akan berikan cubaan kepada kamu  dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan  buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar iaitu  orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan, Innalillahi  Wainna Ilaihi Rajiun, maka itulah mendapat berkat dan rahmat daripada  Tuhannya dan mereka itulah orang yang mendapat petunjuk.” (Surah  al-Baqarah, ayat 155-157)
 Akan tiba masanya, kalau tidak di dunia, Insyaallah di akhirat kelak,  terbit sinar kebahagiaan dan rahmat-Nya menerangi kehidupan, berkat  kesabaran serta keimanan menempuhi ujian demi ujian.
 Perlu diingat, sebanyak mana harta kemewahan dan kesenangan  dianugerah Allah hendaklah disyukuri. Perlu juga diyakini segala nikmat  diperoleh dengan izin Allah SWT, dan dengan kehendak Allah juga, boleh  hilang dalam sekelip mata.
 Allah SWT berfirman yang bermaksud:
 “Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan  (saja) mengatakan ‘kami telah beriman’ sedangkan mereka belum lagi  diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang yang sebelum mereka,  maka sesungguhnya Allah SWT mengetahui orang yang benar dan dan orang  yang dusta.” (Surah al-Ankabut, ayat 2-3)
 Ingatlah, setiap apa yang kita lakukan, baik mahupun tidak, akan tetap dihitung dan diberi balasan sewajarnya oleh Allah SWT.
 Firman Allah yang bermaksud:
 “Sesiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya  dia akan melihat (balasannya), dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan  sebesar zarah, nescaya dia akan melihat (balasannya) pula.” (Surah  al-Zalzalah, ayat 7-8)
 Untuk itu, janganlah kita mudah mengeluh apabila berdepan dugaan  hingga mudah syaitan menusuk jarum kebencian terhadap takdir Allah SWT.  Kita menjadi lupa kepada Allah serta lupa kekuasaan dan pembalasan-Nya.
 Janganlah kita menjadi seperti kaduk naik junjung atau luncai yang  terjun dengan labu-labunya sehingga dikatakan sebagai orang yang ‘kufur  nikmat’.