Artikel menarik yang Kak Ungku ingin kongsi bersama ini adalah dari blog Saujana Mata Hati - Tuan Mohd Rezza Tuan Mohd Khanafiah (putra_sufie@yahoo.com)
Jom sama-sama kita baca dan renungkan....
MERUBAH persepsi manusia bukan mudah, lebih-lebih lagi mereka yang dah lama berpegang pada sesuatu adat hingga terlalu sulit melihatnya dari sudut ibadat, iaitu syariat. Mengajar manusia normal tidak semudah kita membawa seekor lembut untuk meragut rumput di kawasan tanah lapang, tidak dapat tidak segala kefahaman betul mengenai perjalanan syariat islam harus ditanam sedari kecil lagi. Apabila kita ingin perbetulkan kesalahan tadi, maka akan berlakulah kejanggalan yang tidak bertempat, malu-malu kucing kerana katanya tidak pernah dibuat orang, ada juga yang terkejut dan disusuli ketawa sinis.
“Biar betul ustaz, tak kan perempuan yang datang melamar lelaki”
“Ehh.. malulah macam ni ustaz”
“Boleh ke buat seperti tu. Nanti apa kata orang”
Saya tidak risau bagi mereka yang ada rupa, digilai oleh ramai lelaki, tapi bagaimana pula mereka yang sekadar cukup-cukup makan, atau bujang terlajak (andartu).. tidakkah dianggap ‘sial’ atau aib oleh masyarakat. Sudah pasti aib itu bukan sahaja disandang oleh perempuan dara tua sebagai individu, tapi tempiasnya juga terkena kepada keluarganya. Inilah penghalang utama dan satu-satunya 'musibah' bagi perempuan yang hendak melamar lelaki.
Saya pernah menerima banyak persoalan soal jodoh terutama golongan terlajak ini. Kadang-kadang saya melihat salah satu masalah kita ialah sikap, walhal melihat pada kemampuan, kedudukan, pendapatan boleh sahaja memiliki atau lebih senang bisa ‘memancing’ lelaki tapi masih sukar untuk mendapat pasangan. Sikap kita pada suatu ketika dahulu yang mungkin agak memilih, mahu cari yang sepadan atau lebih daripada diri. Mana ada kelas seorang doktor kahwin dengan ustaz, mana padan seorang business women berjaya nikah dengan tukang kebun. Maka kalian telah membawa fitnah kepada agama.
Tidak kurang juga di kalangan ahli gerakan, mencari pasangan antara ahli gerakan, tidak boleh berbeza fikrah atau bukan daripada satu jamaah yang sama. Maka menunggulah dengan penuh hiba si perempuan dalam gerakan tadi jejaka idaman satu jamaah datang menyunting. Kalau ahli gerakan tu berjuta-juta mungkin tiada masalah, tapi kalau sekerat jangan bermimpi di siang hari. Maafkan saya, mungkin sedikit agresif (panas!), cuma saya ingin ubah sedikit persepsi kita kerana syarat sah kahwin dan rukunnya tidak pernah menyebut perkara yang dirumitkan tadi.
Ya.. PERSEPSI
Mengapa untuk sebuah kebaikan dan kemaslahatan hidup dapat dikalahkan oleh persepsi yang kolot ini? Persoalannya kembali kepada sikap individu tersebut, apakah dia lebih mengutamakan persepsi atau kebahagiaan hidup yang sejati? Kita meraih syurga cinta Allah melalui pasangan bukan kerana fikrah kita sama atau sebagainya... sebuah kebahagian, amanah kepada rukun rumahtangga.
Apakah kita terasa jijik bila mana tahu Saidatina Khadijah yang datang melamar baginda yang hanya seorang anak yatim piatu, tiada siapa dan apa-apa di sisi. Kita pula tahu kedudukan Khadijah di sisi masyarakat... seorang yang berkedudukan, hartawan, ahli perniagaan berjaya, dan dihormati oleh kaum Quraisy. Beliau menepis persepsi tidak sihat demi mempersunting lelaki yang di matanya terdapat tanda-tanda kemuliaan dan kematangan peribadi. Nafisah binti Munabih menjadi saksi bukti cinta Khadijah kepada insan al-Amin ini. Siapa kita kalau hendak dibandingkan dengan Khadijah?
“Saya teramat sedih ustaz. Kami dah bertunang, memang dah nak kahwin tiba-tiba putus di tengah jalan” rintih seorang wanita mengenang nasib malangnya.
Malah lebih parah lagi masalah bertunang dan kemudian terputus sebelum diijab-qabulkan ini berlaku berulang kali dan kesannya menimbulkan ketakutan kepada mereka untuk terus bertunang lagi. Ianya lebih ngeri melihat luka sendiri di tangan, luka mungkin hingga pada suatu masa akan sembuh... tapi soal hati dan perasaan boleh bawa mati, silap-silap boleh jadi tidak waras.
IKHTIAR, USAHA
Para ulama’ bersetuju bahawa jodoh ialah salah satu qada’ ketentuan Allah Taala seperti rezeki, ajal seseorang hamba. Semuanya itu termaktub sejak azali lagi. Namun kita tidak boleh berserah bulat-bulat hingga terkulat, apabila sampai satu masa kita telah berputus asa dan mengatakan ini adalah takdir Ilahi. Apakah kita tahu itu ialah takdir Ilahi? Maka sebab kita tidak tahulah kita masih mempunyai satu lagi talian hayat, iaitu ikhtiar.
Benar, sebuah ikhtiar.
Manusia diberi hak seluas-luasnya untuk berusaha dan terus berusaha tanpa mengenal erti putus asa. Kita teringin mahu makan sesuatu yang enak, tapi bolehkah ianya hadir tanpa kita berusaha seperti gigih bekerja, mencari duit yang halal sebelum memiliki makanan yang enak tadi. Maka usaha itulah yang akan menjadi penentu pada ketentuan takdir Ilahi. Kalau tidak, kalian tidak ubah seperti Mat Jenin di era moden.
Tidak menjadi kesalahan apabila melihat pada kemaslahatan perempuan memulakan dahulu, soal jodoh selagi mana ianya tidak menyalahi syara’ maka dihalalkan dalam Islam, bahkan amat digalakkan. Hendaklah difahami jelas-jelas, Islam tidak pernah meletakkan bebanan ke atas bahu lelaki sahaja untuk memulakan terlebih dahulu dalam soal mencari jodoh. Buang jauh-jauh persepsi dangkal terhadap peribahasa Melayu; “Perigi mencari timba” atau “Langkah bendul”, dalam Islam ianya masih terjaga dan tidak mengaibkan.
Berusaha mencari kebaikan dan redha Allah.
Pernah suatu ketika, telah datang kepada Rasulullah s.a.w seorang wanita arab menyatakan hasrat secara terus terang tanpa perantaraan untuk bersuamikan Rasulullah s.a.w. Tapi baginda s.a.w menolak dengan cara baik, di samping di atas simpati baginda s.a.w sendiri yang tolong mencarikan suami buat wanita itu. Dengan kesungguhannya untuk membantu wanita itu Rasulullah telah mencarikan beliau seorang suami dari kalangan para sahabatnya dan mereka kemudian hidup dalam kerukunan rumahtangga yang bahagia.
Bagaimanapun haruslah diingatkan, bahawa wanita yang ingin menggunakan kaedah ini untuk mendekatkan jodohnya kena menyedari hakikat sopan santun dan tidak melampaui batas hukum syara’ yang menjadi benteng terpelihara.
Mereka perlu berwaspada agar tindakan itu tidak menjejaskan maruah dan harga diri di mata masyarakat kita yang berpegang kepada nilai-nilai agama dan adat. Tujuannya mesti jujur dan hendaklah mendekati lelaki dengan niat yang benar-benar untuk dibuat suami. Tidak perlulah bercinta dulu, atau mahu mengenal hati budi masing-masing.. apabila dah serasi, aturlah masjlis perkahwinan secepat mungkin.
BERDOA
Jangan lupa juga untuk bekalkan doa bagi menguatkan usaha kita tadi. Doa adalah senjata ampuh orang mukmin. Mendekatkan jodoh dengan doa adalah amalan para solifus soleh.
Nabi s.a.w pernah bersabda, bermaksud: “Allah tidak akan mengubah qada’ seseorang hamba melainkan kerana doa” (al-Hadith)
Biarlah malu kita tadi bersalut iman, dan bertempat. Perempuan mudah mendapat fitnah ketika bujangnya berbanding apabila telah berumahtangga, mencari sesuatu kebaikan amat dianjurkan di dalam Islam. Jangan salahkan takdir andai kita sendiri silap membuat perhitungan.
Pilihlah. Jika kita mahu ke arah kebaikan dengan usaha yang gigih, maka kalian akan merasai kesan sampingannya yang sementara seperti penat dan hampir berputus asa, tapi kemudiannya kalian akan mendapat kesan kebaikan tadi yang abadi. Jika kalian mahu pada kebaikan tanpa ada usaha mendahuluinya, maka kalian akan merasai kesan sampingannya yang sementara seperti berangan-angan kosong, tapi kemudiannya mendapat kesannya yang dasyat seperti menanggung fitnah dan cakap-cakap orang dari belakang dalam bentuk abadi.
Tuesday, 18 May 2010
Boleh ke Perigi Cari Timba?
Posted by Kak Ungku Betty at 23:07 4 comments
Labels: Rahsia Kehidupan
Thursday, 13 May 2010
8 Petanda Dia adalah Jodoh Kamu
Dua manusia yang merasa saling berjodoh pasti memiliki ikatan emosional, spiritual dan fizikal antara keduanya. Hanya dengan menatap mata atau mendengar suaranya, kita akan merasakan getaran dan seolah ingin terus bersamanya. Benarkah seperti itu?
Lalu, apakah ada petanda lainnya agar seseorang dapat merasakan bahawa si dia jodoh (soulmate) kita atau bukan? Alhamdulillah.....bagi Kak Ungku jodoh ditangan Allah, kita wajib berusaha dan berdoa. Selain daripada melakukan solat Istiharah (yang mana Kak Ungku amat yakin dengan petunjuk dan keputusannya) Kak Ungku juga telah merasakan kelapan-lapan petanda seperti yang tersebut di bawah dalam masa saya berkenalan dan berkawan dengan Hubby.... alhamdulillah he is my soulmate till now.....
Petanda 1
Rahsia sepasang kekasih agar dapat memiliki usia hubungan yang panjang adalah dengan adanya saling kerjasama. Kamu dan dia selalu dapat saling membantu, dalam urusan remeh atau besar. Paling penting adalah kamu berdua selalu dapat melalui segala aspek kehidupan secara bersama-sama. Dan semuanya terasa amat menyenangkan meskipun tanpa harus melibatkan orang lain. Apakah kamu sudah merasakan perkara tersebut? Jika ya, selamat… kerana ada harapan bahawa dia adalah calon pendamping hidup kamu!
Petanda 2
Salah satu kriteria yang menentukan sesuai atau tidaknya dia sebagai jodoh kamu atau bukan adalah kemampuannya bersikap bersahaja di depan kamu. Cuba sekarang perhatikan, apakah gerak-gerinya, caranya berpakaian, gaya rambutnya, caranya berbicara serta tertawanya mengesankan apa adanya? Apakah setiap ucapannya selalu tampak spontan dan tidak dibuat-buat? Jika tidak, maaf kemungkinan besar dia bukan jodoh kamu!
Petanda 3
Adanya deria batiniah membuat hati kamu berdua dapat selalu saling tahu. Dan bila kamu atau si dia dapat saling membaca fikiran dan menduga reaksi serta perasaannya satu sama lainnya pada situasi tertentu. Selamat! Sebenarnya dialah destini kebahagian kamu…
Petanda 4
Bersamanya dapat membuat perasaan kamu menjadi tenang, selesa dan tanpa perasaan tertekan. Berjam-jam bersamanya, setiap waktu dan setiap hari tanpa membuat kamu merasa bosan… Inilah petanda bahawa kamu berdua kelak akan saling terikat.
Petanda 5
Dia selalu ada untuk kamu dalam situasi apapun. Dan dia selalu dapat memahami situasi dalam hati kamu baik dalam suka dan duka. Percayalah pasangan yang berjodoh pasti tak takut mengalami pasang-surut, suka-duka saat bersama. Sekarang, ingat-ingat kembali. Apakah dia orang pertama yang datang memberi bantuan tatkala kamu dirundung musibah? Dia selalu faham saat emosi kamu terganggu? Dia tahu keadaan waktu anda sakit? Jika ya, tak salah lagi. Dialah orangnya…
Petanda 6
Dia tak terlalu peduli dengan masa lalu keluarga kamu, dia tak peduli dengan masa lalu kamu saat bersama kekasih terdahulu. Dia juga tak malu-malu menceritakan masa lalunya… Nah, kalau begitu ini bisa berarti dia sudah siap menerima kamu apa adanya..
Petanda 7
Setiap orang pasti memiliki kekurangan, dan kamu tak malu-malu perlihatkannya pada si dia. Bahkan pada saat kamu tampil ‘buruk’ di depannya sekalipun, misalnya saat kamu bangun tidur atau saat kamu sakit dan tak mandi selama dua hari. Ataupun menceritakan sejujurnya kepada kamu tentang kelemahan dan kekurangannya… Nah! Kamu dan dia memangnya disuratkan untuk bersama!
Petanda 8
Bila merasa rahsia kamu bisa lebih selamat di tangannya daripada di tangan sahabat-sahabat kamu yang lain. Atau kamu merasa sudah tak dapat lagi menyimpan rahsia apapun darinya, maka berbahagialah! Kerana ini bererti pasangan sejati telah kamu temukan!
Apakah kelapan petanda di atas telah anda temukan padanya? Kak Ungku dah alami kelapan2 tanda di atas, alhamdulillah. Anda bagaimana?
Posted by Kak Ungku Betty at 03:20 0 comments
Labels: Rahsia Kehidupan
Rahsia Kehidupan
10 Pesanan Berguna untuk Kehidupan
1. Senyum itu tanda kemesraan, diberi kepada manusia dianggap sedekah. Ketawa itu lambang kelalaian. Selalu dilakukan hati akan mati. Dibuat di hadapan manusia menghilangkan maruah diri.
2. Setiap kesalahan yang dilakukan jadikanlah pengajaran, insaflah ini tanda kelemahan diri, kesalilah keterlanjuran itu dan berazamlah tidak mengulanginya lagi.
3. Syukur nikmat dan sabar di dalam ujian amat mudah diucapkan tetapi amat sulit dilaksanakan.
4. Kesenangan dan kemewahan selalunya membawa kepada kesombongan dan kelalaian. Kesusahan dan penderitaan itu, selalunya membawa kekecewaan dan putus asa, kecuali orang yang mukmin.
5. Di antara tanda-tanda orang-orang yang sombong itu cepat melahirkan sifat marah, suka memotong percakapan orang, suka bermujadalah yakni bertegang leher, nampak di mukanya rasa tidak senang jika ada orang yang lebih darinya di satu majlis, bercakap meninggikan suara, pantang ditegur, tidak ada tanda-tanda kesal di atas kesalahan.
6. Orang yang sudah hilang sifat marah - dayus, cepat melahirkan sifat marah - lemah mujahadah. Orang yang ada sifat marah tapi dapat disembunyikan kecuali di tempat-tempat yang munasabah inilah manusia normal.
7. Tahu diri kita hamba itu adalah ilmu, merasa diri kita itu hamba itu penghayatan, yang kedua inilah akan lahir sifat tawaduk, malu, khusyuk, takut, hina dan lain-lain lagi sifat kehambaan.
8. Jika kita mengingati dosa, kita tidak nampak lagi kebaikan kita, apatah lagi untuk dibanggakan.
9. Lahirkan kemesraan kita sesama manusia kerana itu adalah haknya tapi jangan putus hati kita dengan Allah, ini adalah hakNya pula.
10. Apabila rasa senang dengan pujian, rasa sakit dengan kehinaan menunjukkan kita ada kepentingan peribadi, tanda kita tidak ikhlas membuat kebaikan.
Posted by Kak Ungku Betty at 03:01 0 comments
Labels: Rahsia Kehidupan
