Monday 15 August 2011

Ikhlas Mesti Dijadikan Cara Hidup Capai Kesempurnaan Iman

Oleh Dr Aminudin Mansor

SIFAT ikhlas sangat penting untuk dipraktikkan dalam kehidupan seharian kerana orang yang ikhlas dianggap sempurna imannya. Ikhlas adalah sifat jujur yang dipraktikkan melalui perbuatan, percakapan dan amalan seharian.

Ikhlas datang daripada hati akan menjadikan sesuatu perbuatan dan amal itu diterima Allah.

Nabi SAW bersabda;

Siapa memberi kerana Allah, menolak kerana Allah, mencintai kerana Allah, membenci kerana Allah dan menikah kerana Allah, maka sempurnalah imannya. (Riwayat Abu Daud)

Berdasarkan hadis ini, sifat ikhlas penting dalam memberi dan menolak sesuatu yang haram serta membenci perbuatan tidak baik. Malah, tujuan berkahwin yang ikhlas kerana Allah sangat dituntut Islam kerana ia adalah cara menuju kesempurnaan iman. Begitulah tingginya kedudukan sifat ikhlas dalam hati Muslim. Sifat ikhlas dapat dididik kepada anak melalui pemberian, percakapan dan membenci sesuatu perkara yang dilarang Allah. Pendidikan ini mesti dilakukan secara berterusan.

Ikhlas sebenarnya wujud dari hati, bukan melalui percakapan. Ada sesetengah orang mengatakan, pemberian saya ini ikhlas. Belum tentu sifat ikhlas itu wujud seratus peratus kerana pemberian yang ikhlas adalah lebih baik dilakukan secara diam-diam dan tidak perlu ia dihebahkan kepada orang ramai.

Sukar untuk menentukan keikhlasan yang datang dari hati. Hanya seseorang yang beriman dan betul-betul ikhlas yang dapat mentafsirkan pemberiannya ikhlas atau ada maksud di sebaliknya.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

Sesungguhnya Allah SWT tidak memandang segak tubuhmu dan tidak pula pada kedudukan mahupun harta kekayaanmu, tetapi Allah memandang pada hatimu. Barang siapa memiliki hati yang salih, maka Allah menyukainya. Bani Adam yang paling dicintai Allah ialah yang paling bertakwa. (Riwayat Ath-Thabrani dan Muslim)

Seseorang yang sentiasa mendidik hatinya untuk ikhlas melalui perbuatan, percakapan dan pemberian akan dapat menuju ke arah ketakwaan kepada Allah.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud:

Siapa memurkakan Allah untuk meraih keredaan manusia, maka Allah murka kepadanya dan menjadikan orang yang meredainya menjadi murka kepadanya. Namun, siapa yang meredakan Allah (meskipun) dalam kemurkaan manusia maka Allah akan meredainya dan meredakan kepadanya, orang yang pernah memurkai-nya, sehingga Allah memperindah dirinya, memperindah ucapannya dan perbuatan dalam pandangan-Nya. (Riwayat Ath-Thabrani)

Sifat ikhlas wajar dididik dan dilatih sejak kecil lagi. Bimbingan pendidikan ini mesti dilakukan secara berterusan dalam pemberian, perlakuan dan perbuatan. Oleh itu, sifat ikhlas ini tidak perlu dipamerkan tetapi dipraktikkan.

0 Yorum var:

Related Posts with Thumbnails