Sunday 28 August 2011

Salam Merdeka Raya 2011

Kepada semua pembaca budiman
Kak Ungku dan suami mengucapkan
"Selamat Hari Raya"
Maaf Zahir dan Batin

Berhati-hati ketika memandu
semoga selamat sampai ke destinasi masing-masing
juga kami berdua ingin mengucapkan
"Salam Merdeka" buat semua.....
“1Malaysia : Transformasi Berjaya, Rakyat Sejahtera”
MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!







Thursday 25 August 2011

10 Nasihat Ibnul Qayyim Untuk Bersabar Agar Tidak Terjerumus Dalam Lembah Maksiat


Sekadar renungan..... hari ini kita membaca nasihat dari Ibnu Qayyim kepada kita untuk bersabar agar tidak terjerumus di dalam lembah maksiat.
Semoga kita mendapat faedahnya..

Berikut ini sepuluh nasihat Ibnul Qayyim rahimahullah untuk menggapai kesabaran diri agar tidak terjerumus dalam perbuatan maksiat:

Pertama, hendaknya hamba menyedari betapa buruk, hina dan rendah perbuatan maksiat. Dan hendaknya dia memahami bahwa Allah mengharamkannya serta melarangnya dalam rangka menjaga hamba dari terjerumus dalam perkara-perkara yang keji dan rendah sebagaimana penjagaan seorang ayah yang sangat sayang kepada anaknya demi menjaga anaknya agar tidak terkena sesuatu yang membahayakannya.

Kedua, merasa malu kepada Allah… Kerana sesungguhnya apabila seorang hamba menyedari pandangan Allah yang selalu mengawasi dirinya dan menyedari betapa tinggi kedudukan Allah di matanya. Dan apabila dia menyedari bahwa perbuatannya dilihat dan didengar Allah tentu saja dia akan merasa malu apabila dia melakukan hal-hal yang dapat membuat murka Rabbnya… Rasa malu itu akan menyebabkan terbukanya mata hati yang akan membuatnya bisa melihat seolah-olah dirinya sedang berada di hadapan Allah…

Ketiga, senantiasa menjaga nikmat Allah yang dilimpahkan kepadamu dan mengingat-ingat perbuatan baik-Nya kepadamu……

Apabila engkau berlimpah nikmat
maka jagalah, kerana maksiat
akan membuat nikmat hilang dan lenyap

Barang siapa yang tidak mahu bersyukur dengan nikmat yang diberikan Allah kepadanya maka dia akan disiksa dengan nikmat itu sendiri.

Keempat, merasa takut kepada Allah dan kuatir tertimpa hukuman-Nya

Kelima, mencintai Allah… kerana seorang kekasih tentu akan mentaati yang dikasihinya… Sesungguhnya maksiat itu muncul diakibatkan oleh lemahnya rasa cinta.

Keenam, menjaga kemuliaan dan kesucian diri serta memelihara kehormatan dan kebaikannya… Sebab perkara-perkara inilah yang akan bisa membuat dirinya merasa mulia dan rela meninggalkan berbagai perbuatan maksiat…

Ketujuh, memiliki kekuatan ilmu tentang betapa buruknya perbuatan maksiat serta jeleknya akibat yang ditimbulkannya dan juga bahaya yang timbul sesudahnya iaitu berupa muramnya wajah, kegelapan hati, sempitnya hati dan gundah gulana yang menyelimuti diri… kerana dosa-dosa itu akan membuat hati menjadi mati…

Kelapan, memupus buaian angan-angan yang tidak berguna. Dan hendaknya setiap insan menyedari bahwa dia tidak akan tinggal selamanya di alam dunia. Dan mestinya dia sedar kalau dirinya hanyalah sebagaimana tamu yang singgah di sana, dia akan segera berpindah darinya. Sehingga tidak ada sesuatu pun yang akan mendorong dirinya untuk semakin menambah berat tanggungan dosanya, kerana dosa-dosa itu jelas akan membahayakan dirinya dan sama sekali tidak akan memberikan manfaat apa-apa.

Kesembilan, hendaknya menjauhi sikap berlebihan dalam hal makan, minum dan berpakaian. Kerana sesungguhnya besarnya dorongan untuk berbuat maksiat hanyalah muncul dari akibat berlebihan dalam perkara-perkara tadi. Dan di antara sebab terbesar yang menimbulkan bahaya bagi diri seorang hamba adalah… waktu lapang yang dia miliki… kerana jiwa manusia itu tidak akan pernah mahu duduk diam tanpa kegiatan… sehingga apabila dia tidak disibukkan dengan hal-hal yang bermanfaat maka tentulah dia akan disibukkan dengan hal-hal yang berbahaya baginya.

Kesepuluh, sebab terakhir adalah sebab yang merangkum sebab-sebab di atas… iaitu kekukuhan pohon keimanan yang tertanam kuat di dalam hati… Maka kesabaran hamba untuk menahan diri dari perbuatan maksiat itu sangat tergantung dengan kekuatan imannya. Setiap kali imannya kokoh maka kesabarannya pun akan kuat… dan apabila imannya melemah maka sabarnya pun melemah… Dan barang siapa yang menyangka bahwa dia akan sanggup meninggalkan berbagai macam penyimpangan dan perbuatan maksiat tanpa dibekali keimanan yang kukuh maka sungguh dia telah keliru.


Artikel www.muslimah.or.id

Friday 19 August 2011

Mengingati Allah, Menenangkan Hati Menghadapi Cabaran Hidup

KEHIDUPAN pasti ada cabaran, suka dan duka. Tidak bernama kehidupan tanpa cabaran, ia ibarat warna-warni yang menghias diri. Namun, seberat mana masalah yang menimpa, jangan mudah berputus asa. Rahmat dan nikmat Allah sentiasa meliputi kita. Sebenarnya tujuan Allah menyakitkan adalah bagi menyembuhkan, begitu juga Allah menyempitkan adalah untuk meluaskan. Hebatnya perancangan Allah bagi menguji hamba-Nya.

Ketandusan hati adalah penyakit yang amat ketara dalam masyarakat kita hari ini. Ramai susah hati, gelisah, walaupun memiliki segala-galanya, harta dan kuasa. Hakikatnya, kebahagiaan dan ketenangan bukan terletak kepada kemewahan, harta benda atau kuasa kerana manusia yang kaya-raya hidup tidak senang, takut, runsing dan tidak tenteram. Mengapa? Apabila hati dikuasai iman dan takwa, akan lahirlah kebaikan.

Namun, apabila hati dikuasai nafsu, amal yang muncul adalah keburukan. Tidak hairanlah apabila seseorang itu mengalami kegelisahan akan melakukan apa saja di luar batasan akal manusia. Ia berlaku kerana gagal mengawal perasaan serrta tidak melihat Allah sebagai Yang Maha Kuasa dan Maha Esa.

Apabila manusia berasakan Allah begitu dekat dengannya, walaupun dibebani dengan masalah, mereka akan segera mendapatkan ketenangan dengan membaca al-Quran, berzikir, bersolat dan melihat keindahan alam ciptaan Allah. Inilah ubat ketenangan. Allah berfirman yang bermaksud: "(Iaitu) orang yang beriman dan tenteram hatinya dengan mengingati Allah
dengan mengingati Allah. Ingatlah (bahawa) dengan mengingati Allah itu, tenteramlah segala hati." (Surah al-Ra'd ayat 28).

Hati orang yang beriman itu akan sentiasa tenang dan tenteram kerana mereka mengingati Allah. Tidak kira walau mereka ditimpa malapetaka, mereka segera insaf dan melihat kembali kesilapan yang dilakukan agar ia dapat diubah.

Nabi Muhammad s.a.w. bersabda, sembahyang itu tempat ketenangan jiwa dan kesenangan hatinya. Jadi, orang yang mengerjakan sembahyang lima kali sehari semalam seolah-olah mereka mengingati Allah siang, malam, pagi dan petang.

Dengan bersembahyang, hati terasa sedang mengadu serta merintih kepada Allah. Hal berkenaan dijelaskan Rasulullah, bahawa dengan sembahyang, hati orang beriman dan bertakwa sudah terhibur. Baginda bersabda yang maksudnya:
"Di antara kesenangan dunia yang aku sukai ialah wanita, wangi-wangian dan penenang hatiku adalah sembahyang". (Hadis riwayat Al-Nasa'ei).

Dalam mencari ketenangan, seseorang perlu berpandukan syarak supaya ia tidak jauh tersasar. Ketenangan yang dicari dengan berseronok hanyalah bersifat sementara.

Orang yang berada dalam keadaan tidak tenang akan sentiasa bersedih, muram serta susah hatinya. Maka, kita perlu mengingati Allah pada setiap masa dan memohon taubat kepadanya. Firman Allah yang bermaksud:
"Sesungguhnya, Allah menyukai orang yang bertaubat, dan mengasihi orang yang bersuci" (Surah al-Baqarah ayat 222).

Walau bagaimana berat sekalipun ujian, Allah sentiasa membantu. Firman Allah yang bermaksud:
"Dia yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang yang beriman supaya bertambah keimanan mereka bersama keimanannya. Kepunyaan Allah tentera langit dan bumi dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana" (Surah al-Fathu ayat 4).
Jadi, kita tidak boleh merungut, berasa beban atau tertekan dengan ujian hidup. Rasulullah sendiri menempuh pelbagai ujian sehingga Baginda diangkat darjat Ulul Azmi, iaitu mereka yang paling gigih, sabar dan berani menanggung ujian.

Firman Allah yang bermaksud:
"Adakah kamu menyangka, kamu akan masuk syurga sahaja dan tidak akan datang (malapetaka) kepadamu seperti yang telah datang kepada orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa kemiskinan dan kemelaratan yang amat sangat dan mereka gementar (ketakutan) sehingga berkata rasul dan orang yang beriman bersamanya: Bilakah tibanya pertolongan Allah? Ingatlah, bahawasanya pertolongan Allah itu hampir tiba." (Surah al-Baqarah ayat 214).

Bagi orang beriman, ujian bukanlah dianggap sesuatu perkara yang malang kerana Allah mempunyai perancangan di sebaliknya. Dalam keadaan berdosa sekalipun, ujian ditimpa sebagai satu pengampunan. Manakala dalam keadaan taat pula, Allah menurunkan ujian bagi meningkatkan darjat seseorang.

Tiada cara lain 'mengubati' penyakit gelisah melainkan mentaati segala perintah Allah. Walaupun kita diuji dengan penyakit, derita atau miskin kita perlu kembali semula kepada Allah s.w.t yang pasti mempunyai perancangan buat manusia. Bagaimana boleh dapat merasai ketenangan jika manusia tidak pernah melawan hawa nafsu yang sentiasa menjuruskan mereka ke lembah kehinaan.

Manusia perlu 'sibuk' berurusan dengan Allah kerana Dia memberikan segala-galanya termasuk kesenangan. Dengan mengingati nama Allah, hukum serta qada dan qadar mampu menjadikan jiwa manusia lebih kuat dan tenang. Insya-Allah, dengan zikrullah hati akan sentiasa lapang. Jika Allah uji dengan kematian insan tersayang misalnya mereka perlu bersedia dan menerima takdir itu dengan hati terbuka. Daripada situ akan timbul sifat reda menerima ketentuan yang Allah janjikan.

Bagi mereka yang berada dalam kekusutan perlu meleraikan dahulu masalah yang dihadapi dan tidak membiarkan kegelisahan itu menguasai fikiran. Reda dan pasrah terhadap ketetapan dan ketentuan Allah akan mententeramkan hati manusia daripada segala macam kegelisahan jiwa yang timbul. Benar, kesedihan tidak mungkin dapat ditolak. Mengapakah kita memberi ruang serta membiarkan diri kita tenggelam dalam kesengsaraan.

Selain itu, orang beriman pasti tenang apabila dapat melihat alam ciptaan Allah s.w.t dan sebab itu manusia digalakkan berbuat demikian sebagai tanda memuji kebesaran Allah. Mereka pasti rasa bahagia apabila dapat melihat ciptaan Allah di muka bumi ini seperti lautan, bukit bukau, haiwan, langit dan gunung ganang yang semuanya mempunyai peranan masing-masing.

Muhasabah diri itu penting bagi menilai kesilapan kita. Jika kita berasakan diri ini teruk dilanda masalah, kita perlu fikir masih terdapat individu lain yang lebih hebat diuji Allah. Hanya dengan bersyukur atas nikmat yang diberi kita berasa redha dan lega atas cabaran yang sedang di hadapi. Taati perintah Allah, perhatikan kebesaran allah, pasti hati anda tenang dan bahagia walaupun menghadapi cabaran yang bergelora.


Thursday 18 August 2011

Petanda Malam Lailatul Qadar


Kata sesetengah ulama, Lailatulqadar berlaku pada satu malam tertentu seperti malam 21 dan 23 Ramadan. Ini menurut Imam Syafie r.a dan sesetengah ulama kerana ada hadis Bukhari dan Muslim yang menceritakan Lailatulqadar berlaku pada malam tersebut sehingga Rasulullah saw sujud dan dahinya yang mulia masih berlumuran tanah pada malam itu. Ada sesetengah ulama, tidak menentukannya secara pasti dan ada juga ulama terutama dari kalangan para zuhad dan sebagainya mengira dengan hari permulaan puasa.

Menurut mereka sekiranya permulaan puasa jatuh pada hari :
Ahad atau Rabu = Lailatulqadar ialah pada hari yang ke-29.
Jumaat atau Selasa Lailatulqadar ialah pada hari yang ke-27.
Khamis = Lailatulqadar ialah pada hari yang ke-25 Ramadan.
Sabtu = Lailatulqadar ialah pada hari yang ke-23.
Isnin = Lailatulqadar ialah pada hari yang ke-21.

Demikianlah kaedah yang diguna pakai oleh sebahagian ulama termasuk Imam Abul Hasan r.a. Tegas beliau: Aku tidak pernah terlepas malam Lailatulqadar tersebut dengan menggunakan kaedah ini.

Tanda Dan Alamat
Tanda dan alamatnya adalah banyak, antara lain malam itu sendiri berlalu dengan penuh keheningan dan tenteram, angin bertiup lembut sepoi-sepoi bahasa dan esoknya, pada pagi hari kelihatan langit agak redup dan cahaya matahari tidak begitu menyinari ruang angkasa dan macam-macam lagi.

Hikmah
Hikmatnya ialah apabila seseorang mengetahui malam Lailatulqadar tersebut, maka eloklah diperbanyakkan doa dan istighfar juga ibadat pada malam dan keesokannya, untuk mendapatkan fadilat hari yang penuh berkat dan mulia itu. Yakinlah apabila seseorang itu bersedia setiap malam Ramadan dengan ibadat, sekurang-kurangnya bersolat jemaah setiap waktu, Maghrib, Isyak dan Subuh, kata ulama dia pasti memperoleh fadilat malam Lailatulqadar

Oleh itu bersolatlah dengan tekun dan berterusan terutama pada bulan Ramadan al-Mubarak ini. Walau tinggal beberapa hari saja lagi malam-malam di bulan Ramadhan, pastikan kita menjadi juara diakhirnya nanti. Semoga Ramadhan kali ini menjanjikan kita kemenangan. Kemenangan melawan dan menguasai hawa nafsu. InsyaAllah.


Sumber : iLuvislam.com

Tuesday 16 August 2011

4 Isteri, Jagalah Yang Pertama....

Suatu ketika, ada seorang pedagang kaya yang mempunyai empat orang isteri. Dia mencintai isteri yang keempat dan memberikan harta dan kesenangan yang banyak. Sebab, isteri keempat adalah yang tercantik di antara kesemua isterinya. Maka, tidak hairan lelaki ini sering memberikan yang terbaik untuk isteri keempatnya itu.

Pedagang itu juga mencintai isterinya yang ketiga. Dia sangat bangga dengan isterinya ini, dan sering berusaha untuk memperkenalkan isteri ketiganya ini kepada semua temannya. Namun dia juga selalu bimbang kalau-kalau isterinya ini akan lari dengan lelaki yang lain.

Begitu juga dengan isterinya yang kedua. Dia juga sangat menyukainya. Dia adalah seorang isteri yang sabar dan penuh pengertian. Bila-bila masa pun apabila pedagang ini mendapat masalah, dia selalu meminta pandangan isterinya yang kedua ini. Dialah tempat bergantung. Dia selalu menolong dan mendampingi suaminya melalui masa-masa yang sulit.

Sama halnya dengan isterinya yang pertama. Dia adalah pasangan yang sangat setia. Dia sering membawa kebaikan bagi kehidupan keluarga ini. dialah yang merawat dan mengatur semua kekayaan dan usaha si suami. Akan tetapi si pedangang tidak begitu mencintainya. Walaupun isteri pertamanya ini begitu sayang kepadanya namun, pedagang ini tidak begitu memperdulikannya.

Suatu ketika, si pedagang sakit. Kemudian dia menyedari mungkin masa untuknya hidup tinggal tidak lama lagi. Dia mula merenungi semua kehidupan indahnya, dan berkata dalam hati, "Saat ini, aku punya empat orang isteri. Namun, apabila aku meninggal, aku akan sendiri. Betapa menyedihkan jika aku harus hidup sendiri."

Lalu dia meminta semua isterinya datang dan kemudian mulai bertanya pada isteri keempatnya, "Kaulah yang paling kucintai, kuberikan kau gaun dan perhiasan yang indah. Nah sekarang, aku akan mati, mahukah kau mendampingiku dan menemaniku?" Isteri keempatnya terdiam. "Tentu saja tidak!" jawab isterinya yang keempat, dan pergi begitu sahaja tanpa berkata-kata lagi. Jawapan itu sangat menyakitkan hati seakan-akan ada pisau yang terhunus dan menghiris-hiris hatinya.

Pedagang yang sedih itu lalu bertanya kepada isteri ketiganya, "Aku pun mencintaimu sepenuh hati, dan saat ini, hidupku akan berakhir. Mahukah kau ikut denganku, dan menemani akhir hayatku?". Isteri ketiganya menjawab, "Hidup begitu indah di sini. Aku akan menikah lagi jika kau mati". Pedagang begitu terpukul dengan jawapan isteri ketiganya itu.

Lalu, dia bertanya kepada isteri keduanya, "Aku selalu berpaling padamu setiap kali mendapat masalah. Dan kau selalu mahu membantuku. Kini, aku perlu sekali pertolonganmu. Kalau aku mati, mahukah kau ikut dan mendampingiku? " Si isteri kedua menjawab perlahan, "Maafkan aku tak mampu menolongmu kali ini. Aku hanya boleh menghantarmu ke liang kubur saja. Nanti, akan kubuatkan makam yang indah buatmu." Jawapan itu seperti kilat yang menyambar. Si pedagang kini berasa putus asa.

Tiba-tiba terdengar satu suara, "Aku akan tinggal denganmu. Aku akan ikut ke manapun kau pergi. Aku, tak akan meninggalkanmu, aku akan setia bersamamu." Si pedagang lalu menoleh ke arah suara itu dan mendapati isteri pertamanya yang berkata begitu. Isteri pertamanya tampak begitu kurus. Badannya seperti orang yang kelaparan. Berasa menyesal, si pedagang lalu berguman, "Kalau saja aku mampu melayanmu lebih baik pada saat aku mampu, tak akan kubiarkan kau seperti ini isteriku."

Teman, sesungguhnya kita punya empat orang isteri dalam hidup ini...ISTERI KEEMPAT adalah tubuh kita. Seberapa banyak waktu dan belanja yang kita keluarkan untuk tubuh kita supaya tampak indah dan gagah, semuanya akan hilang. Ia akan pergi segera apabila kita meninggal. Tak ada keindahan dan kegagahan yang tersisa saat kita menghadapNYA.

ISTERI KETIGA
adalah status sosial dan kekayaan kita. Saat kita meninggal, semuanya akan pergi kepada yang lain. Mereka akan berpindah dan melupakan kita yang pernah memilikinya.

ISTERI KEDUA pula adalah kerabat dan teman-teman. Seberapa pun dekat hubungan kita dengan mereka, mereka tak akan mampu bersama kita selamanya. Hanya sampai kuburlah mereka akan menemani kita.

DAN SESUNGGUHNYA ISTERI PERTAMA adalah jiwa dan amal kita. Mungkin kita sering mengabaikan dan melupakannya demi kekayaan dan kesenangan peribadi. Namun, sebenarnya, hanya jiwa dan amal kita sajalah yang mampu untuk terus setia dan mendampingi kemanapun kita melangkah. Hanya amal yang mampu menolong kita diakhirat kelak.

Jadi, selagi mampu, perlakukanlah jiwa dan amal kita dengan bijak. Jangan sampai kita menyesal kemudian hari!


Monday 15 August 2011

Ikhlas Mesti Dijadikan Cara Hidup Capai Kesempurnaan Iman

Oleh Dr Aminudin Mansor

SIFAT ikhlas sangat penting untuk dipraktikkan dalam kehidupan seharian kerana orang yang ikhlas dianggap sempurna imannya. Ikhlas adalah sifat jujur yang dipraktikkan melalui perbuatan, percakapan dan amalan seharian.

Ikhlas datang daripada hati akan menjadikan sesuatu perbuatan dan amal itu diterima Allah.

Nabi SAW bersabda;

Siapa memberi kerana Allah, menolak kerana Allah, mencintai kerana Allah, membenci kerana Allah dan menikah kerana Allah, maka sempurnalah imannya. (Riwayat Abu Daud)

Berdasarkan hadis ini, sifat ikhlas penting dalam memberi dan menolak sesuatu yang haram serta membenci perbuatan tidak baik. Malah, tujuan berkahwin yang ikhlas kerana Allah sangat dituntut Islam kerana ia adalah cara menuju kesempurnaan iman. Begitulah tingginya kedudukan sifat ikhlas dalam hati Muslim. Sifat ikhlas dapat dididik kepada anak melalui pemberian, percakapan dan membenci sesuatu perkara yang dilarang Allah. Pendidikan ini mesti dilakukan secara berterusan.

Ikhlas sebenarnya wujud dari hati, bukan melalui percakapan. Ada sesetengah orang mengatakan, pemberian saya ini ikhlas. Belum tentu sifat ikhlas itu wujud seratus peratus kerana pemberian yang ikhlas adalah lebih baik dilakukan secara diam-diam dan tidak perlu ia dihebahkan kepada orang ramai.

Sukar untuk menentukan keikhlasan yang datang dari hati. Hanya seseorang yang beriman dan betul-betul ikhlas yang dapat mentafsirkan pemberiannya ikhlas atau ada maksud di sebaliknya.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

Sesungguhnya Allah SWT tidak memandang segak tubuhmu dan tidak pula pada kedudukan mahupun harta kekayaanmu, tetapi Allah memandang pada hatimu. Barang siapa memiliki hati yang salih, maka Allah menyukainya. Bani Adam yang paling dicintai Allah ialah yang paling bertakwa. (Riwayat Ath-Thabrani dan Muslim)

Seseorang yang sentiasa mendidik hatinya untuk ikhlas melalui perbuatan, percakapan dan pemberian akan dapat menuju ke arah ketakwaan kepada Allah.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud:

Siapa memurkakan Allah untuk meraih keredaan manusia, maka Allah murka kepadanya dan menjadikan orang yang meredainya menjadi murka kepadanya. Namun, siapa yang meredakan Allah (meskipun) dalam kemurkaan manusia maka Allah akan meredainya dan meredakan kepadanya, orang yang pernah memurkai-nya, sehingga Allah memperindah dirinya, memperindah ucapannya dan perbuatan dalam pandangan-Nya. (Riwayat Ath-Thabrani)

Sifat ikhlas wajar dididik dan dilatih sejak kecil lagi. Bimbingan pendidikan ini mesti dilakukan secara berterusan dalam pemberian, perlakuan dan perbuatan. Oleh itu, sifat ikhlas ini tidak perlu dipamerkan tetapi dipraktikkan.

Zikir Terapi Ajaib Ubat Kegersangan Hati, Roh Insan

Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

ZIKIR mempunyai kedudukan sangat istimewa kerana ibadah ini digalakkan Islam sebagai satu bentuk amal ibadah yang menunjukkan sifat tunduk serta patuh sepenuhnya kepada Allah, disertai pula rasa kasih, reda dan yakin kepada-Nya.

Mukmin yang sentiasa mengamalkan zikir akan dapat merasai kesannya seperti ketenangan jiwa. Firman Allah yang bermaksud:

(Iaitu) orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan zikrullah itu tenang dan tenteramlah hati manusia. (Surah Ar-Rad, ayat 28)

Dalam kehidupan, kita sering berdepan pelbagai cabaran dan dugaan sehingga ada ketikanya membawa kepada keresahan jiwa. Justeru, dengan sentiasa mengamalkan ibadah zikir, ia ibarat terapi ajaib yang menyembuhkan keresahan jiwa manusia. Namun, penyerapan roh zikrullah tidak datang kepada pengamalnya jika hati tidak bersama tatkala berzikir. Ketenangan hati orang mukmin terhasil daripada zikrullah adalah hakikat dalaman yang hanya boleh dirasakan oleh hati yang diselaputi kemanisan iman.

Selain itu, mukmin yang sentiasa berzikir akan diberikan ganjaran pahala yang besar. Ini janji Allah dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Dan orang lelaki yang menyebut nama Allah sebanyak-banyaknya serta orang perempuan yang menyebut nama Allah sebanyak-banyaknya, Allah menyediakan bagi mereka keampunan dan pahala yang besar.” (Surah al-Ahzaab, ayat 35)

Walaupun zikir amalan yang mudah dilakukan, tetapi menjadi berat untuk dibiasakan. Antara penghalang kepada seseorang untuk membiasakan lidah berzikir ialah disebabkan dosa yang dilakukan.

Apabila daki dosa tertampal pada hati, ia terhijab untuk menggerakkan seseorang berzikir. Faktor lain, seseorang itu dibelenggu sifat mazmumah seperti hasad dengki, suka mengumpat dan sebagainya. Sifat keji seperti ini juga akan menghijab hati untuk berzikir.

Ibnu Taimiyah berkata, keperluan hati terhadap zikir umpama keperluan ikan terhadap air. Cuba bayangkan, bagaimana keadaan ikan jika kita keluarkan dari air.

Al-Imam Syamsuddin Ibnu Qayyim mengatakan: “Sesungguhnya zikir adalah makanan asas bagi hati dan roh, apabila hamba Allah gersang daripada siraman zikir, maka jadilah ia bagaikan tubuh yang terhalang untuk memperoleh makanan asasnya.”

Demikian penting dan tingginya kedudukan zikir kepada seseorang mukmin. Kita seharusnya berpegang kepada prinsip hidup, tidak sempurna hari tanpa zikir. Inilah yang seharusnya kita didik supaya lidah dan hati sentiasa berzikir kepada Allah.

Ibnu Masud ada mengatakan: “Sesungguhnya aku bertasbih beberapa kali itu lebih aku sukai daripada aku menderma beberapa dinar dalam jumlah yang sama di jalan Allah.”

Zikir berkhasiat pula sebagai ubat bagi kekerasan hati.

Dikisahkan bahawa ada seseorang bertanya kepada Hasan al-Basri: “Ya Abu Said, aku ingin mengadu kepada tuan, mengapa hati aku ini menjadi keras begini?” Lantas kata Hasan: “Lunakkanlah hatimu itu dengan zikir.”

Kedudukan tinggi amalan berzikir turut digambarkan dalam kisah seorang bertanya kepada Salman al-Farisi: Amal apakah yang paling utama? Kemudian dijawab Salman: “Tidakkah engkau pernah membaca ayat, Sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (keutamaannya) daripada ibadah yang lain.” (Surah Al-Ankabut ayat 45)

Abdullah bin Masud pernah berkata: “Sesungguhnya sebuah gunung menyeru gunung yang lainnya dengan namanya dan bertanya, apakah hari ini ada orang yang lalui di atasmu dan menyebut Allah (berzikir)? Maka apabila gunung itu menjawab, ya, maka ia akan gembira.”

Demikian juga riwayat yang mengatakan Abdullah bin Abbas pernah berkata: “Tidak ada sebuah lembah yang di atasnya disebut nama Allah kecuali ia akan merasa bangga atas lembah yang berada di sekelilingnya, ia merasa gembira dengan zikir yang diucapkan itu. Kegembiraan itu juga turut dirasai oleh tujuh lapis di bawah lembah itu.”

Begitulah gambaran jelas menunjukkan betapa amalan zikir mempunyai keistimewaan besar yang seharusnya menjadi amalan rebutan setiap mukmin untuk mencapai keredaan Allah dan menikmati ketenangan hidup.

Menjaga Silaturrahim....

Abul-Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Abdullah bin Amr bin Al'ash r.a. berkata:

"Seorang datang kepada Baginda s.a.w. dan berkata: "Ya Rasulullah, saya mempunyai keluarga yang saya hubungi tetapi mereka memutuskan hubungan kepadaku. Saya baik kepada mereka tetapi mereka zalim kepadaku dan saya tolong membantu mereka dan mereka berbuat jahat kepadaku, apakah boleh saya membalas perbuatan mereka dengan perbuatan yang sama?"

Jawab Baginda s.a.w.: "Tidak, sebab jika kamu membalas mereka, maka sama dengan mereka, tetapi hendaknya engkau tetap mengambil cara yang lebih baik dan tetap menghubungi mereka, maka selalu engkau akan mendapat bantuan dari Allah s.w.t. selama engkau berbuat demikian."



Allah s.w.t. menyuruh bersilaturrahim dalam ayat al-Quran yang bermaksud: "Dan takutlah kamu pada Allah yang dalam semua hajatmu kamu minta padaNya dan jagalah hubungan silaturrahimmu. Dan jangan kamu putuskan hubungan dengan mereka."

Hadith riwayat Al Bukhary dan Muslim yang bermaksud.....
"Tidak akan masuk syurga orang yang memutuskan silaturrahim"

Sifat memutuskan silaturrahim itu:
1. Sifat memutuskan silaturrahim adalah satu amalan yang mengembirakan syaitan.
2.Sifat memutuskan silaturrahim adalah satu amalan yang di murkai oleh Allah SWT.
3.Sifat memutuskan silaturrahim adalah satu amalan yang merugikan kepada orang yang terlibat dari segi hubungan duniawi (hilang kawan atau saudara).
4.Sifat memutuskan silaturrahim adalah satu amalan yang merugikan kita sehingga kita tidak dapat masuk syurga (apa guna kehidupan kita jika akhirnya kita ke neraka, pohon pelindungan Allah).


Monday 8 August 2011

Buat Renungan....

4 Perkara - Hanya Dengan Redha Allah SWT

Empat perkara yang tidak dapat diraih kecuali dengan keredhaan Allah SWT:

  1. Banyak bersikap diam
  2. Merendahkan hati (tawadhu’)
  3. Banyak berzikir kepada Allah
  4. Kesederhanaan dalam segala hal.

********************************************************

Menghindari Syaitan

Jika hati penuh dengan iman, dihiasi dengan taqwa, dan dipelihara dengan zikir, maka syaitan tidak akan berkuasa atasnya dan tidak punya jalan untuk masuk ke dalam hatinya.


**********************************************************

Penyakit Umat

Rasulullah s.a.w bersabda: Kelak akan menimpa umatku penyakit umat-umatku terdahulu, iaitu penyakit sombong, kufur nikmat, dan lupa diri dalam memperoleh harta dan bermegah-megah dengan harta. Mereka terjurumus dalam jurang kemenangan dunia, saling bermusuhan, saling iri dengki dan dendam sehingga melakukan kezaliman.
(Hadith Riwayat Al-Haakim)

Semoga Allah melindungi kita dari musibah ini… aamiin

Monday 1 August 2011

Salam Ramadhan 1432H

"Ya Allah, Ya Tuhanku kurniakan kepadaku rahmat kerana Engkau sahaja yang dapat memberi rahmat"..... Ameen Ya Rabb


Dalam kerendahan hati, ada ketinggian budi…
Dalam kemiskinan harta, ada kekayaan jiwa…
Dalam kelembutan lisan, ada keterlanjuran kata…
Dalam gurau dan senda, ada khilaf dan dosa…
Harap dimaafkan segalanya.

“Salam Ramadan buat semua”

Salam Ikhlas,

Kak Ungku & Hubby


Related Posts with Thumbnails