Wednesday 25 August 2010

Tanda-Tanda Takut Yang Sebenarnya

Oleh Dr ‘Aidh bin Abdullah Al-Qarni

Ada empat tanda-tanda takut yang sebenarnya kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala:

Pertama: Keadaan yang nampak dan yang tersembunyi adalah sama. Sehingga yang nampak, tidak kelihatan lebih baik dari yang tersembunyi.

Dalam hadith yang diriwayatkan oleh Imam At-Tirmidzi, bahawasanya Rasulullah (saw), bersabda:

Allah Subhanahu Wa Ta’ala befirman (dalam hadith Qudsi): “Akan wujud beberapa kaum yang berpura-pura dalam kekhusyu’an, mereka memakai kulit-kulit domba halus di hadapan manusia (berpura-pura), lidah-lidah mereka lebih manis daripada madu, hati-hati mereka lebih pahit daripada tanaman sejenis jadam (rasanya sangat pahit), maka atas nama-Ku, Aku bersumpah untuk menurunkan fitnah dan cubaan yang menjadikan orang yang lembut menjadi gundah. Apakah mereka hendak menipu-Ku ataukah mereka berani kepada-Ku?” (At-Tirmidzi, no. 2404 dari Abu Hurairah dan no. 2405 daru Ibnu Umar. Lihat Al-Misykat no. 5323, 2354 dan Targhib wat-Tarhib, no.41)

Kita berlindung kepada Allah daripada keadaan zahir kita yang bagus, sementara batin kita sangat buruk dan keji.

Kedua: Hendaklah seorang hamba itu jujur dengan Allah, sama ada dalam pembicaraan, tindakan mahupun perbuatannya. Jadi, kejujuran tidak hanya dalam pembicaraan sahaja.

Para ulama’ mengatakan, kejujuran itu ada tiga tingkatan:

  1. Jujur dalam keadaan.
  2. Jujur dalam perkataan.
  3. Dan jujur dalam perbuatan.

Dalam hadith yang diriwayatkan oleh Imam At-Tirmidzi daripada Syafi Al-Ashbuhi (ra), dia berkata:

“Saya mendatangi Abu Hurairah (ra) ketika dia berada di dalam masjid Rasulullah (saw) di Madinah. Saya berkata: “Wahai Abu Hurairah, demi Allah, saya memohon kepada tuan untuk menceritakan sebuah hadith yang tuan dengar daripada Rasulullah (saw) kepadaku.” Abu Hurairah (ra) mengatakan: “Demi Allah, saya akan menceritakan sebuah hadith yang saya dengar daripada Rasulullah (saw),” tiba-tiba dia menangis dengan tersedu-sedu, sehingga dia tidak sedarkan diri. Selepas dia sedar kembali, dia berkata: “Saya mendengar Rasulullah (saw) bersabda: “Sesungguhnya golongan yang pertama kali dibakar dengan api neraka pada hari qiamat nanti ada tiga orang.” Rasulullah (saw) menyebutkan tiga golongan manusia ini, iaitu; seorang alim atau yang membaca Al-Quran, seorang pedagang dan seorang mujahid. Mereka semua melakukan pekerjaan dengan riya‘ dan sum’ah, tidak ikhlas kerana Allah. Allah akan memasukkan mereka terlebih dahulu ke dalam api neraka sebelum yang lainnya.”

Syafi Al-Ashbuhi berkata: “Ketika saya berjumpa dengan Mu’awiyyah, beliau menyampaikan hadith ini kepada saya, sedangkan beliau masih berada di atas singgahsana kekhalifahannya. Akhirnya, dia jatuh tersungkur ke bumi sambil menangis dan berkata: Maha Benar Allah yang berfirman:

“Sesiapa yang menghendaki kehidupan dunia dan perhiasannya, nescaya Kami berikan kepada mereka balasan pekerjaan mereka di dunia dengan sempurna dan mereka di dunia itu tidak akan dirugikan. Itulah orang-orang yang tidak memperoleh di akhirat, kecuali neraka dan lenyaplah di akhirat itu apa yang telah mereka usahakan di dunia dan sia-sialah apa yang telah mereka kerjakan (maksudnya: apa yang mereka usahakan di dunia itu tidak ada pahalanya di akhirat).” (Hud: 15-16)

Ketiga: Menyesali perbuatan-perbuatan yang buruk dan bergembira terhadap perbuatan-perbuatan yang baik.

Pada suatu hari, Umar bin Al-Khattab (ra) berpesan kepada tentera kaum Muslimin yang akan berangkat ke medan perang. Beliau berkata: “Wahai kaum Muslimin! Barangsiapa yang gembira dengan kebaikannya dan menyesal dengan kejahatannya, maka dialah orang yang beriman.”

Apabila kamu bersedekah, atau kamu sembahyang dua raka’at, atau kamu mengingati Allah Subhanahu wa Ta’ala sebanyak-banyaknya, lalu sanubarimu merasa lapang, jiwamu terasa tenang, maka ketahuilah bahawa kamu adalah orang yang beriman. Begitu juga apabila kamu menyesal dan bersedih terhadap kemaksiatan dan dosa-dosamu kepada Allah.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji (dosa besar yang mudharatnya menimpa orang lain juga, seperti zina dan riba’) atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui. Mereka itu balasannya ialah ampunan daripada Tuhan mereka dan syurga yang di dalamnya mengalir sungai-sungai, sedang mereka kekal di dalamnya; dan itulah sebaik-baik pahala orang-orang yang beramal.” (Ali-’Imran: 135-136)

Keempat: Hendaklah hari ini lebih baik bagimu daripada hari kelmarin. Dan hari esok lebih baik bagimu daripada hari ini.

Sesiapa yang ibadahnya semakin meningkat, maka ini adalah ciri-ciri kejujuran dan takut kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Dan sesiapa yang hari kelmarinnya lebih baik daripada hari ini, dan hari ini lebih baik daripada hari esoknya, maka dia hanya berjalan mundur ke belakang. Sementara ibadahnya sudah dicampuri kebohongan.

Oleh kerana itulah, kita mesti jujur kepada Allah dengan takut yang sebenar-sebenarnya kepada-Nya.

Ibmu Taimiyah berkata: “Definisi takut adalah segala hal yang dapat mencegahmu dari perbuatan maksiat. Sedang apa yang melebihi batasan itu tidaklah diperlukan.”

Sebahagian ulama’ mengatakan: “Makna takut kepada Allah, iaitu apabila kamu duduk sendirian, kamu menyedari seolah-olah Allah memperhati semua makhluk-Nya dari atas singgahsana-Nya.”

Salah seorang salafus soleh mengatakan: “Takut adalah beranggapan bahawa kamu akan dilahap api neraka Jahannam, atau seolah-olah kamu tiada berdaya, bahkan tidak mampu mengucapkan kalimah La Ilaha Illallah.”

Sementara yang lain mengatakan: “Takut kepada Allah adalah kamu merasa malu kepada Allah, seolah-olah semua amal perbuatanmu tertolak dan dikembalikan kepadamu. Hal ini kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“…sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) daripada orang-orang yang bertaqwa.” (Al-Mai’dah: 27)

Abdullah bin Umar bin Al-Khattab (ra) berkata: “Demi Allah, saya sangat berharap semoga Allah menerima sebesar bji zarah sahaja daripada amalanku.” Mereka bertanya: “Mengapa?” Abdullah bin Umar (ra) berkata: “Kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman: “Demi Keagungan dan KemuliaanKu, sesungguhnya Aku tidak menerimanya daripadamu.”

Oleh kerana itu Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“…dan jelaslah bagi mereka azab daripada Allah yang belum pernah mereka perkirakan.” (Az-Zumar: 47)

Pada awalnya, kebanyakan orang beranggapan bahawa amalan-amalan mereka berbentuk amal soleh, tetapi di dalamnya penuh dengan kemunafiqan, riya’ dan sum’ah. Akhirnya semua amalan amalan itu dikembalikan dan dipukulkan ke wajah-wajah mereka. Kerana Allah tidak akan menerima amalan-amalan seorang hamba, melainkan dengan keikhlasan semata-mata kepada-Nya dan benar-benar sesuai dengan sunnah (ajaran) Rasulullah (saw).

Semoga salawat dan salam tetap dicurahkan kepada baginda Nabi Muhammad (saw) dan semua keluarganya serta para sahabatnya sekelian

0 Yorum var:

Related Posts with Thumbnails