Friday 18 June 2010

Nasi Hailam Bukit Bintang Hilang status Halal

Kedai nasi ayam ini terkenal di Kuala Lumpur. Lokasi kedainya amat strategik - di kawasan paling sibuk di ibunegara - Bukit Bintang. Kedai nasi ayam ini sebelumnya pernah mendapat sijil pentauliahan sijil halal Jakim beberapa tahun lalu.


Nasi Ayam


Sajian sampingan

Oktober tahun lalu, ia ditarik balik dan diberi notis menurunkan logo halal terbabit, namun pekedai enggan melakukannya.

Penarikan balik dilakukan apabila kedai ini melanggar syarat ditetapkan kerana menggunakan pekerja Myanmar dan Nepal untuk memasak dan menyajikan makanan.

Dan ketika serbuan dilakukan, terdapat kira-kira 10 pekerja bukan beragama Islam warga asing di restoran berkenaan.

Logo halal Jakim di premis kedai nasi ayam ini diturunkan serta-merta bagi mengelakkan kekeliruan pengguna berugama Islam dan mengelakkan dari terus dimanipulasi bertujuan keuntungan perniagaan.


Lagi berita:

ENAK TAPI TAK SAH - Harian Metro 28-5-2010
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my
2010/05/27

KUALA LUMPUR: Nasi ayam dihidangkan enak bukan kepalang, namun berpuluh-puluh pelanggan yang sedang menjamu selera di sebuah kedai nasi ayam terkenal di Bukit Bintang, di sini, semalam tersentak apabila premis terbabit tiba-tiba diserbu pegawai penguat kuasa agama kerana didapati menggunakan logo halal palsu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Lebih menyakitkan mata, pemilik premis yang sering dipenuhi umat Islam bagaikan sengaja cuba memperdaya pelanggan apabila memasang tiga logo halal Jakim bersaiz besar di hadapan premis bagi menarik kedatangan orang ramai.

Tindakan tidak bertanggungjawab pemilik kedai nasi ayam terkenal itu bagaimanapun berakhir apabila sepasukan pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya dan pegawai Jakim melakukan pemeriksaan mengejut sekitar jam 11 pagi semalam.

Sumber KPDNKK berkata, pemeriksaan dilakukan selepas pihaknya menerima aduan awam yang ragu terhadap status halal dan logo Jakim yang dipamerkan secara berlebih-lebihan di premis menjual nasi ayam berkenaan.

Menurutnya, pegawai KPDNKK dan Jakim yang melakukan pemeriksaan mendapati pemilik kedai nasi ayam terbabit menggunakan logo halal Jakim tanpa kebenaran.

“Pemeriksaan mendapati pemiliknya sengaja memasang logo halal Jakim bersaiz besar di hadapan dan sisi tepi restoran terbabit bagi menarik perhatian orang ramai. Siasatan lanjut mendapati kedai nasi ayam terbabit sebelum ini pernah diberikan pentauliahan sijil halal Jakim beberapa tahun lalu.

“Malangnya pemilik kedai terbabit gagal mematuhi syarat pensijilan halal Jakim menyebabkan sijil halal Jakim yang diberikan itu ditarik semula pada Oktober tahun lalu,” katanya.

Menurutnya, pemilik premis terbabit pernah diberikan notis supaya menurunkan logo halal terbabit, namun dia didapati ingkar dan masih menggunakan logo halal Jakim semata-mata untuk meraih keuntungan daripada pelanggan Islam.

“Tindakan menarik semula sijil halal diberikan sebelum ini berpunca sikap pemilik premis tidak menggunakan pekerja beragama Islam seperti disyaratkan sebalik menggunakan pekerja Myanmar serta Nepal untuk memasak dan menyajikan makanan.

“Malah, ketika serbuan dilakukan hari ini (semalam), pemilik kedai menjual nasi ayam itu masih enggan akur dengan nasihat Jakim apabila terus menggunakan khidmat lebih 10 pekerja warga asing bukan Islam di restoran berkenaan,” katanya.

Operasi terbabit yang diketuai Penolong Pengarah Bahagian Penguat Kuasa KPDNKK Putrajaya, Ismail Hamzah dan dibantu Penolong Pengarah Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan Bahagian Hab Halal Jakim, Amri Abdullah kemudian bertindak tegas mengarahkan semua logo halal Jakim palsu itu ditanggalkan serta-merta.

Menurutnya, arahan tanpa kompromi itu dilakukan bagi memastikan logo halal Jakim terbabit tidak terus dimanipulasi bagi tujuan keuntungan perniagaan pihak tertentu. “Operasi yang berakhir sekitar jam 1.30 tengah hari itu dianggap berhasil apabila dua logo halal Jakim yang dipasang secara kekal berjaya dicabut. Malah, pemilik premis bersetuju memanggil kontraktor bagi melakukan kerja menanggalkan logo halal Jakim yang dipasang terlalu hampir dengan kabel elektrik.

“Pemilik premis terbabit yang berusia 50-an akur dengan kesalahan dilakukan itu dan berjanji untuk memohon semula sijil halal Jakim serta mematuhi syarat ditetapkan mengikut perbahasan halal,” katanya.


Sumber:
http://www.halal.gov.my/v2/index.php?ty=content_view&id=PCS-20100527152345&type=ANN

Setakat hari ini....Kak Ungku tidak dapat memastikan adakah premis ini telah memohon untuk mendapatkan semula sijil Halal JAKIM....wallahua'lam

***********************************************************

Apakah ISU yang sebenarnya???

Sebenarnya, pengguna Islam di negara ini telah lama terkeliru, dikelirukan dengan isu ini.

Tiada penafsiran yang jelas tentang penggunaan logo halal ini.

Terlalu banyak logo sehinggakan pengguna menjadi keliru, dan peniaga pandai memanipulasi penggunaan logo itu.

Seharusnya, Akta Halal yang bakal dibentangkan (sepatutnya dah ada bertahun lalu lagi), akan merungkai segala kemusykilan selama ini.

Logo halal yang dikeluarkan oleh pihak Majlis Agama Islam negeri juga agak mengelirukan, menyebabkan kucar-kacir pemikiran pengguna kerana ia seolah-olah fungsi tertindih/bertindih dengan Jakim.

Dicadangkan, hanya ada satu logo standard yang dikeluarkan , dan hanya oleh satu pihak iaitu Jakim, dan diwajibkan sebarang paparan pada iklan atau tampalan atau pada produk, disertakan no siri/no rujukan/no pendaftaran, bagi memudahkan pengguna menyemak serta-merta statusnya.

Bagaimanapun, perkara telahpun berlaku, keadaan dah makin bercelaru.

Apa yang penting ialah kita sebagai pengguna yang membuat penilaian sendiri berdasarkan pemerhatian (jika membabitkan kedai makan contohnya).

Bagaimana pula dengan makanan yang dikilang, ditinkan, dibungkus. Adakah pengguna tahu/nampak apa yang diisi di dalamnya, walhal produk itu ada logo halal (bukan logo halal Jakim).

Pengusaha tidak pernah serik/takut menggunakan sewenang-wenangnya, kerana keuntungan lebih utama.

Yang penting bagi mereka, jika orang Islam melihat ada logo Halal, pasti barang itu dibeli tanpa was-was.

Lagipun, mereka tahu, jika hari ini anda buat laporan kepada pihak berkuasa, dua bulan lagi belum tentu pihak berkuasa datang buat pemeriksaan.

Jadi mereka 'try-luck' terus perdaya pengguna, sehinggalah mereka diserbu.

Dalam tempoh itu, dah banyak wang mereka kumpul untuk bayar saman yang tak seberapa itu.

Pihak kerajaan juga wajib mewujudkan lebih banyak jawatan kosong untuk diisi agensi penguatkuasaan seperti Jakim, kerana ini melibatkan apa yang kita makan terutamanya, semuanya dah menjadi darah-daging.

Itu belum lagi kita 'melawat' kilang-kilang yong-tau-fu, yang sebenarnya, jika kita pergi 'melawat', masa itu juga kita boleh termuntah melihatnya.

Mana mungkin kilang ini mendapat sijil Halal - lalu andapun terpedaya membelinya semata-mata percaya pada sijil Halal swasta atau logo halal palsu.

Saman boleh bayar...

Kredit : ondscene.blogspot.com

0 Yorum var:

Related Posts with Thumbnails